Pemenang pertandingan dimuktamad, juri saran adakan secara terbuka

Admin

GEORGE TOWN – Tiga pemenang bagi Pertandingan Melukis Penang Harmoni bertemakan Syawal Kita Rai, SOP Dipatuhi yang diadakan sejak 1 April hingga 31 Jun lalu telah dimuktamadkan hari ini oleh tiga juri professional.

 

 

Juri-juri adalah terdiri daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik; Ketua Unit bagi Unit Pengurusan Bencana Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), D. Ambika Devi dan Penolong Setiausaha Kanan, Unit Komunikasi Korporat dan Inovasi Pejabat SUK, Mohd. Aliff Mohd. Nasser.

 

 

Pertandingan melukis pada kali ini menawarkan hadiah RM700 kepada johan, RM500 (naib johan) dan RM300 (tempat ketiga).

 

Para pemenang yang terpilih akan dihubungi oleh pihak Buletin Mutiara dalam masa terdekat.

 

 

Bercakap kepada Buletin Mutiara, Choon Aik mencadangkan agar skop pertandingan wajar diperluaskan dan diuar-uarkan lagi kepada masyarakat agar lebih banyak penyertaan diterima seiring nilai hadiah yang ditawarkan.

 

 

“Pertandingan seperti ini boleh diperluaskan kepada sekolah-sekolah berdasarkan syarat ditetapkan terutamanya dari segi had umur agar lebih banyak penyertaan dapat dicapai.

 

 

“Memandangkan sekarang adalah fasa peralihan endemik, saya cadangkan Buletin Mutiara mungkin boleh anjurkan pertandingan ini ditempat terbuka dalam apa-apa festival supaya ia lebih spontan untuk menonjolkan lagi kreativiti peserta.

 

 

“Seperti kita tahu, kalau buat di rumah mungkin ada yang boleh rujuk kepada guru atau ibu bapa, jadi bila buat secara terbuka, aspek kreativiti dapat dinilai dengan lebih baik,” jelasnya yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) bagi Komunikasi.

 

 

Sementara itu, Mohd. Aliff pula menyatakan rasa bangga dan tidak menyangka anak-anak Pulau Pinang mempunyai bakat luar biasa dalam bidang lukisan sehingga menyukarkan pihak juri untuk membuat keputusan.

 

 

“Saya sangat kagum dengan bakat-bakat peserta dan selepas ini, mungkin Buletin Mutiara boleh menambah hadiah hingga tempat kelima atas usaha mereka dalam menghasilkan lukisan yang kreatif ini,” ujar beliau kepada Buletin Mutiara di sini pagi tadi.

 

 

Nada sama turut disuarakan oleh Ambika Devi yang turut terpegun melihat kreativiti para peserta yang menggunakan pelbagai jenis bahan dalam menghasilkan lukisan dan warna yang menarik.

 

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ALISSALA THIAN