Pementasan Ola Bola The Musical suntik semangat merdeka, perpaduan antara rakyat berbilang kaum

Admin

GEORGE TOWN – Pementasan Ola Bola The Musical Merdeka Tour yang berlangsung hari ini mendapat sambutan hangat luar jangkaan daripada rakyat pelbagai peringkat umur, kaum serta bangsa negeri ini.

Selepas dua musim dipentaskan di Istana Budaya, teater Ola Bola The Musical memulakan jelajahnya di Pulau Pinang hari ini dan diikuti tiga negeri lain iaitu Sarawak, Sabah dan Pahang sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-62.

Ola Bola mengisahkan cabaran yang dihadapi oleh pasukan bola sepak negara ‘Harimau Malaya’ untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik 1980 di Moscow.

Jelajah dan pementasan tersebut dijayakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan beberapa penaja lain.

Hadir menyerikan pementasan, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dan Exco Pembangunan Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan, Yeoh Soon Hin yang disambut Chief Dream Maker Enfiniti (M) Sdn. Bhd. (syarikat penerbitan teater berkaitan), Tiara Jacquelina bersama-sama suaminya.

Pementasan percuma dalam versi ‘showcase’ selama satu setengah jam tersebut memberi peluang kepada lebih daripada 1,000 penonton merasai suntikan patriotik serta kehebatan teater muzikal yang pernah mendapat sambutan hangat, sebelum ini.

Malah, dua lagenda bola sepak negara kelahiran Pulau Pinang iaitu Datuk Syukor Salleh dan Datuk Namat Abdullah turut didatangkan khas sempena pementasan tersebut.

Ola Bola The Musical diarah dan diterbitkan oleh Tiara dan antaranya dibintangi Brian Chan sebagai Tauke Chan Kok Keong, Luqman Hafidz (Ali) dan Hafeez Mikail (Eric Yong).

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING
Video : CHAN KOK KUAN