Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB & NORSHAHIDA YUSOFF
GEORGE TOWN – Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng merakamkan takziah atas pemergian Timbalan Ketua Polis Timur Laut, Allahyarham Supritendan Ahmad Bakhtiar Kassim.
Bagi beliau, arwah merupakan seorang yang dedikasi dan amat dihormati sepanjang menjalankan tugas di Pulau Pinang.
“Saya dengan penuh dukacita ingin merakamkan ucapan takziah buat keluarga Allahyarham…yang telah meninggal dunia secara mengejut.
“Sesungguhnya, negara kita telah kehilangan seorang pegawai polis yang berani dan benar. Saya akan selalu mengingati dan menghargai jasanya yang tidak terhingga,” ujar beliau dalam kenyataannya di sini baru-baru ini.
Allahyarham, 54 tahun dilaporkan terjatuh selepas bermain badminton bersama-sama rakan di sini baru-baru ini.
Allayarham Ahmad Bakhtiar, yang telah berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama lebih 20 tahun, meninggalkan seorang isteri dan tiga cahaya mata.
Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke kampung halamannya di Alor Setar, Kedah untuk disemadikan.
Sementara itu, dalam menghargai jasa dan sumbangan Allahyarham, Kerajaan Negeri baru-baru ini telah menyampaikan sumbangan RM5,000 kepada isteri Allahyarham, Rosnah Ahmad, 49.
“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang di atas keprihatinan mereka. Wang ini akan digunakan untuk kegunaan anak-anak yang masih bersekolah,” ujarnya yang menyifatkan suaminya seorang yang penyayang, penyabar dan seorang ketua keluarga yang bertanggungjawab.