PADANG TEMBAK – Penganjuran Pemeriksaan Mata Glaukoma Percuma di Dewan Komuniti Padang Tembak di sini baru-baru ini adalah untuk memberI kesedaran kepada umum tentang gejala-gejala awal glaukoma dan rawatan glaukoma.
Penganjuran tersebut adalah rentetan projek komuniti, ‘Walk for Sight & Sound 2012’ Blind-folded Charity Walk yang bakal diadakan pada September ini bagi mengumpul dana untuk beberapa rumah kebajikan termasuk St. Nicholas’ Home, Persatuan Pekak Pulau Pinang dan Persatuan Glaukoma Malaysia.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kebun Bunga, Ong Khan Lee berkata, umum perlu mengetahui gejala dan penjagaan yang perlu bagi mengelak terjadinya glaukoma.
“Hal ini, boleh menyebabkan seseorang itu hilang daya penglihatan sekiranya mereka tidak mengambil berat soal penjagaan mata,’’ katanya di sini baru-baru ini.
Kira-kira 200 penduduk sekitar Padang Tembak hadir untuk mendapatkan pemeriksaan percuma di samping mengetahui tentang gejala glaukoma dan penjagaan mata.
Turut hadir, optometris, Tan Thok Chuan yang memberi taklimat tentang penjagaan mata yang betul dan cara-cara mengenalpasti gejala-gejala awal glaukoma.
Program tersebut dianjurkan Lions Club of Georgetown Perdana, Persatuan Glaukoma Malaysia, Persatuan Optometris Malaysia (AMO) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Padang Tembak.