Pemeriksaan mengejut demi pastikan projek RMM ikut jadual, kata Jagdeep

Admin
JGDEEP Singh Deo (dua dari kiri) diiringi Danial Gooi Zi Sen dan dua individu lain dalam sidang media berkaitan di sini pada pagi tadi.

PENGKALAN KOTA – Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata pihaknya akan terus melakukan pemeriksaan mengejut di tapak pembinaan Rumah Mampu Milik (RMM) dari semasa ke semasa demi memastikan tahap pelaksanaan projek-projek tersebut adalah mengikut jadual pembangunan semasa serta senantiasa memenuhi permintaan rakyat Pulau Pinang.

Beliau berkata demikian semasa mengadakan lawatan mengejut ke tapak projek pembinaan RMM Sandiland Foreshore dekat kawasan Parlimen Jelutong di sini pada 25 Mac 2023.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat itu lagi, beliau begitu gembira kerana projek pembinaan 482 unit RMM berkeluasan 800 kaki persegi dan 900 kaki persegi, serta 321 unit kediaman Jenis B atau Kos Sederhana Rendah (KSR) berkeluasan 700 kaki persegi di sini adalah mengikut jadual pembangunan.

“Saya harap projek ini juga dapat dipercepatkan.

“(Ini kerana,) kita (Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang, LPNPP) mahu memastikan perbekalan rumah adalah mencukupi khususnya kepada penduduk bandar raya yang berada dalam senarai menunggu,” ujarnya pada sidang media berkaitan.

Buletin Mutiara difahamkan bahawa sehingga kini sejumlah 144,038 unit RMM dalam pelbagai peringkat pemajuan, sungguhpun Kerajaan Negeri menyasarkan 220,000 unit dibina menjelang tahun 2030.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan kerana akan membina dua Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kota Giam, Jelutong dan Pongsu Seribu dekat kawasan Kepala Batas.

Jelasnya lagi, Kerajaan Negeri yang diterajui Pakatan Harapan pada hari ini akan terus menjalinkan kerjasama erat dengan ‘Kerajaan Perpaduan’ peringkat Putrajaya demi mendapatkan satu lagi projek PPR untuk rakyat Pulau Pinang.

“Dalam perbincangan kita (Kerajaan Negeri dengan Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan) adalah begitu positif yang mana saya akan melihat beberapa bidang tanah untuk cadangan satu lagi pemajuan PPR di Pulau Pinang,” katanya sambil berharap Putrajaya menyalurkan peruntukan persekutuan berkaitan bagi membina lebih banyak unit kediaman jenis PPR di negeri ini.

Bercakap dalam sidang media sama, ADUN Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen memuji inisiatif Jagdeep dan LPNPP yang menjalankan pemeriksaan mengejut dari semasa ke semasa bagi memastikan tahap pemajuan projek-projek perumahan yang dirancang mengikut jadual pembinaan.

Baginya, usaha Kerajaan Negeri meningkatkan perbekalan RMM bukan sahaja akan menguatkan daya huni penduduk negeri terutama di bahagian Pulau, malah meremajakan bandar raya George Town yang merupakan Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB