Pemerkasaan wanita pecah belenggu norma masyarakat – Kon Yeow

Admin
b4e9a0e3 724d 4f1c bc80 5d6279aee48b

GEORGE TOWN – Pemerkasaan wanita bukanlah sekadar isu gender semata-mata, namun ia merupakan isu hak asasi manusia.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa agenda berkaitan merupakan sebuah usaha bagi memecahkan belenggu norma masyarakat yang mengehadkan wanita kepada peranan yang telah ditetapkan selama ini.

“Pemerkasaan wanita juga bermakna kita berusaha memperkasakan separuh daripada populasi dunia yang mampu memaksimumkan potensi bagi pembangunan ekonomi dan sosial di seluruh dunia.

“Saya bersyukur kerana di Pulau Pinang, Persatuan Kemajuan Wanita Pulau Pinang (PERJUANITA) dengan segala usaha serta komitmen telah memainkan peranan yang sangat penting dalam memperkasa wanita, terutamanya ibu tunggal melalui pelbagai program keusahawanan dan pembangunan kemahiran.

“Usaha-usaha seperti ini membuka peluang kepada wanita untuk berdikari, meningkatkan taraf hidup serta membuka peluang baru dalam bidang perniagaan yang tentunya memberikan impak positif kepada keluarga dan masyarakat,” ujarnya pada Majlis Berbuka Puasa dan Bantuan Ramadan PERJUANITA di sini sebentar tadi.

fb6e0958 3f4e 4a0a 86d5 bad0ba9cef33

Hadir sama, isteri kepada Ketua Menteri, YBhg. Puan Tan Lean Kee; Timbalan Menteri Kewangan merangkap Ahli Parlimen Tanjong, Lim Hui Ying; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Dato’ Ong Bee Leng dan Pengasas serta Pengerusi PERJUANITA, Patimah Kader.

Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi percaya bahawa program-program yang dijalankan oleh PERJUANITA juga memberikan ruang kepada wanita untuk mengeksplorasi potensi, memperluaskan jaringan perniagaan serta memperkasa ekonomi keluarga, masyarakat malah juga negara.

“Ini selaras dengan matlamat Kerajaan Negeri untuk memastikan wanita, termasuk ibu tunggal, tidak hanya sepenuhnya bergantung ekonomi kepada pihak lain, sebaliknya juga mampu menjadi sumber inspirasi dalam masyarakat,” jelasnya.

Bersempena majlis tersebut, seramai 100 penerima yang terdiri daripada ibu tunggal, warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan golongan B40 turut menerima bantuan berbentuk tunai sebagai persiapan Aidilfitti yang bakal menjelma.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR