Pemilihan PKRC tertakluk penilaian JKNPP – Ketua Menteri

GEORGE TOWN – Pemilihan mana-mana lokasi untuk dijadikan Pusat Kuarantin Risiko Rendah (PKRC) di negeri ini adalah tertakluk kepada penilaian oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP).

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebagai pemudah cara setakat ini telah memenuhi permintaan JKNPP berhubung dua lokasi di bawah seliaan Kerajaan Negeri untuk dijadikan sebagai PKRC.

 

“Pertama adalah di Kompleks Masyarakat Penyayang (terletak di Jalan Utama) menempatkan 190 katil, manakala keduanya di Kompleks Sukan Balik Pulau yang mempunyai 432 katil.

PENYEDIAAN Pusat Kuarantin Risiko Rendah di Kompleks Masyarakat Penyayang.

 

(Sebelum ini) saya pernah mencadangkan agar Tapak Pesta (berdekatan Terminal Bas Sungai Nibong) digunakan (sebagai PKRC), sama ada ia sesuai atau tidak, juga tertakluk kepada penilaian JKNPP.

 

“JKNPP perlu menilai beberapa aspek agar memenuhi kriteria, kawalan infeksi serta sebagainya,” ujarnya pada sidang media yang diadakan sejurus tamat Program Edaran Makanan Kepada Golongan B40 di Pusat Kawan Lebuh Klang dekat sini petang ini.

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow memaklumkan bahawa pihaknya akan mengadakan mesyuarat bersama-sama JKNPP esok bagi membincangkan keperluan membuka PKRC baharu.

 

“Walaupun ada pihak yang mengharapkan PKRC sedia ada ini kosong, tetapi dengan pertambahan kes-kes yang direkodkan hasil ujian saringan terhadap pekerja warga asing membabitkan sektor perkilangan, maka dalam beberapa hari ini jumlah kes dijangka mencatatkan tiga angka,” katanya.

 

Menjawab dakwaan bahawa PKRC di Balik Pulau (Kompleks Sukan Balik Pulau) tidak mempunyai kelengkapan yang sesuai, tidak disediakan makanan serta suasana tidak baik, Kon Yeow memberitahu bahawa melalui jawapan yang diberikan oleh JKNPP, pihaknya telah menyediakan pelitup muka kepada setiap individu di pusat tersebut.

 

“Selain itu, makanan juga disediakan tiga kali sehari, jadi dakwaan bahawa tiada makanan (disediakan) adalah kurang tepat.

 

“(Dan) memandangkan jumlah kes yang meningkat dengan mendadak, Bilik Gerakan (di PRKC) sentiasa memantau setiap masa keadaan pesakit termasuk memastikan apa-apa isu yang timbul diselesaikan,” responsnya.

 

Dalam pada itu, Kon Yeow turut memberitahu bahawa selain dua PKRC yang ada di negeri ini, pusat-pusat kuarantin di institusi-institusi ditetapkan juga beroperasi bagi individu yang bergejala.

 

“Antaranya di Institusi Latihan Kecemerlangan MARA (MEC) di Seberang Perai Selatan; Pusat Latihan Zakat (PULAZA) Balik Pulau dan Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara (IABCU) di Jitra, Kedah.

 

“Sebelum ini, individu yang tiba dari luar negara turut ditempatkan di pusat-pusat kuarantin ini,” jelasnya.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN