Pemilihan segmen perniagaan penting supaya mampu bertahan

BATU MAUNG – Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain menyatakan pemilihan segmen perniagaan di era pandemik memerlukan lebih ketelitian.

 

Jelasnya, pemilihan tersebut bersama sasaran pelanggan amatlah penting untuk jaminan perniagaan mampu bertahan serta menarik pelanggan.

 

“Contoh kita boleh lihat bagaimana BKE Station yang mana saya lihat memberi fokus kepada golongan muda dan pertengahan berkonsepkan ala barat.

 

“Walaupun dalam pandemik segmen dan pasaran yang tepat, BKE Station mampu buka cawangan kelima di Prestige V, Jalan Permatang Damar Laut, Batu Maung.

 

“Selain itu saya lihat kedudukan strategik di sini yang dekat dengan laluan pergi dan balik kerja di Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas mendorong sambutan baik di sini,” ujar beliau ketika melawat cawangan tersebut yang baru memulakan operasi selama tiga minggu di sini baru-baru ini.

 

Mengulas lanjut, beliau menyeru penjaja kecil agar terus menerokai pamasaran digital yang mampu mencapai pelanggan pada kadar yang lebih luas.

 

“Penggunaan platform digital dan media sosial mampu memperluaskan lagi pemasaran produk, di samping itu lebih elok sekiranya usahawan kita hari ini beralih kepada transaksi tanpa tunai.

 

“Di sesetengah negara duit sudah jarang digunakan, hanya urus niaga secara cashless, mahu tidak mahu semua lapisan masyarakat harus mengadaptasi transisi perubahan yang sedang berlaku ini,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung.

Pemilik BKE Station, Muhammad Amirul Nizar Rozay ketika ditemui mengakui pemasaran digital penting bagi memastikan perniagaan terus bertahan.

 

“Kami di BKE Station menggunakan pelbagai platform media sosial termasuk TikTok, selain itu kami juga pernah menggunakan promosi di kalangan artis-artis serta pemilik-pemilik akaun media sosial terkenal,” maklum beliau kepada Buletin Mutiara.

 

Selain makanan ala barat, BKE Station juga dalam perancangan memperkenalkan menu baharu, seafood talam.

 

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI