Saya memperoleh lesen kira-kira dua bulan lalu setelah berniaga di dalam tempoh setahun. Sebelum memiliki lesen sah, gerai saya selalu disaman dan saya terpaksa membayar saman-saman tersebut. Kini, dengan lesen yang sah, saya berasa selamat untuk menjalankan perniagaan. Setiap bulan, saya hanya membayar RM45 kepada MPPP dan RM60 kepada pemilik kedai kopi untuk caj bekalan air dan elektrik.
Pada pendapat saya, walaupun media banyak mengetengahkan isu gerai milik kaum Melayu dirobohkan, namun, pada hakikatnya, lebih banyak gerai kaum Cina yang dirobohkan.
Isu gerai haram memang perlu diketengahkan. Walaupun kesian dengan tekanan ekonomi yang dihadapi oleh sesetengah penjual, undang-undang perlu diutamakan. Tindakan perlu diambil terhadap penjual yang bertindak menjalankan perniagaan di lokasi tertentu sehingga menghalang keadaan lalulintas dan menyebabkan mengotorkan keadaan di situ.
Ooi Ai Ling, 31, penjual nasi ayam di pusat makanan Mount Erskine.
Tindakan penguatkuasaan perlu diambil terhadap pemilik geram haram supaya ia adil kepada penjual-penjual yang memiliki lesen sah. Sebagai tambahan, mereka yang memiliki lesen juga perlu menjalani pemeriksaan kesihatan bagi menjamin tahap kebersihan makanan yang disediakan.
Berhubung penguatkuasaan penggunaan polisterin pada tahun depan, saya menyokong 100 peratus seruan tersebut. Tanpa polisterin, saya akan lebih menggalakkan pelanggan saya membawa bekas makanan ketika membeli nasi di gerai saya kelak.
S. Rawana, 52, penjual nasi lemak, nasi tomato dan lauk-pauk berhadapan pasar Mount Erskine (waktu malam sahaja).
Sudah enam tahun saya berniaga di sini. Saya rasa tidak puas hati, kita yang menjalankan perniagaan berlesen kena bayar duit api dan air, tapi yang berniaga sesuka hati di luar sana dapat hidup senang-lenang. Patutnya tindakan undang-undang diambil terhadap mereka! Walaupun menghadapi masalah, saya dan rakan-rakan yang berniaga secara sah di sini takut untuk membuat aduan kerana gerai-gerai di luar (tanpa lesen) dilindungi pihak-pihak tertentu. Ekoran tidak tahan, kami telah menubuhkan persatuan untuk melanjutkan aduan ini kepada pihak MPSP. Namun , kami terpaksa membubarkannya setelah menerima ugutan.
Ahmad Murad, penjual minuman, Kompleks Medan Selera, Taman Tun Dr. Awang, Pantai Bersih, Bagan Ajam.
Sebelum ini, saya dan isteri berniaga menggunakan kereta tiga roda dan apabila mampu sikit, kami berniaga di sebuah gerai di tepi jalan sebelum berpindah ke kompleks ini enam tahun lalu secara peniaga berlesan. Malangnya, ekoran tiada penguatkuasaan, gerai-gerai haram banyak wujud di sepanjang jalan hingga menjejaskan perniagaan kami di sini. Setiap bulan, kami membayar sewa RM120, ditambah bil air dan elektrik, jumlah keseluruhan adalah kira-kira RM200 sebulan. Pendapatan setiap hari hanya RM30 – RM40 sahaja. Oleh itu, untuk cari makan, saya terpaksa membuka gerai dari pukul 10 pagi hingga 10 malam untuk menanggung kedua-dua anak saya yang masih bersekolah.
Mohd. Fadzil Mohd. Noor, 58, penjual mee dan nasi goreng,Kompleks Medan Selera, Taman Tun Dr. Awang, Pantai Bersih, Bagan Ajam.