Pemilik Kafe Do Re Mi kesal publisiti negatif babitkan Kerajaan Negeri

Admin

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF 

TIMBALAN Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman (kanan sekali) berjabat tangan dengan Johar Ismail (kiri sekali) selepas selesainya majlis penyerahan sumbangan RM20,000 oleh Ketua Menteri kepada beliau di sini baru-baru ini.
TIMBALAN Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman
(kanan sekali) berjabat tangan dengan Johar Ismail
(kiri sekali) selepas selesainya majlis penyerahan
sumbangan RM20,000 oleh Ketua Menteri kepada beliau di sini baru-baru ini.

GEORGE TOWN – Pemilk Kafe Do Re Mi, Johar Ismail yang pernah menjadi kontroversi dua tahun lalu selepas pihak berkuasa tempatan bertindak merobohkan premis tanpa lesennya memohon maaf kepada Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri di atas publisiti negatif yang diterima ekoran kejadian menimpanya.

Johar di dalam suratnya kepada Ketua Menteri turut menyatakan kekesalan di atas kesempatan yang diambil oleh orang-orang dan organisasi tertentu berhubung isu membabitkan gerainya dengan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).

Dalam pada itu, Johar turut mengucapkan ribuan terima kasih di atas sumbangan Ketua Menteri dan Timbalan Ketua Menteri I sebanyak RM20,000 kepadanya. Malah, beliau turut berterima kasih dengan nasihat dan bantuan yang diberikan oleh Pengerusi Jawatankuasa hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Abdul Malik Abul Kassim sebelum ini.

“Saya bersyukur kerana Kerajaan Negeri memberikan sumbangan ini yang sedikit sebanyak dapat mengurangkan masalah yang dihadapi sejak peristiwa gerai dirobohkan sehingga mendapat liputan media yang meluas.

“Saya sebagai pemilik kedai merasa kesal di atas publisiti negatif yang telah dibuat dan kesempatan yang diambil oleh orang dan juga organisasi tertentu terhadap permasalahan ini,” katanya pada majlis penyampaian sumbangan ringkas yang diadakan di sini baru-baru ini.

Pada masa sama, Johar turut berterima kasih dengan tawaran Kerajaan Negeri untuk memberikannya seunit gerai di Kompleks Bayu Senja, Batu Feringghi sebelum ini.

Terdahulu, Kafe Do Re Mi pernah menjadi kontroversi apabila tindakan perobohan telah dilakukan oleh penguatkuasa MPPP pada 2010 di atas sebidang tanah rizab pantai milik Kerajaan Negeri yang terletak di Tanjung Bungah.

Tindakan perobohan telah dilakukan atas dakwaan pemilik kafe tidak mempunyai lesen yang sah menjalankan perniagaan. Namun, atas inisiatif Kerajaan Negeri dan bantuan nasihat daripada Abdul Malik, pemilik telah bersetuju mengosongkan premis kafe berkenaan.