Pemilik premis gagal jelaskan cukai taksiran akan diberikan notis – MBPP

Admin

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) akan menyerahkan notis pertama bagi tahun ini kepada pemilik-pemilik premis yang gagal menjelaskan bayaran cukai taksiran.

Pengarah Perbendaharaan MBPP, Suhaida Kamalul Arifin berkata, kira-kira 54,972 premis gagal menjelaskan cukai taksiran bagi pegangan harta masing-masing sehingga 28 Februari lalu dengan tunggakan berjumlah RM58,332,933.

“Tunggakan tinggi ini jelas memberikan impak besar kepada hasil Majlis yang akan diguna pakai untuk penyediaan kemudahan infrastruktur dan perkhidmatan kepada seluruh penduduk di negeri ini.

Ahli Majlis merakam gambar kenang-kenangan semasa program cabutan berkenaan.

“Oleh itu, pihak Majlis sedang menggiatkan operasi sitaan harta mudah alih bagi pegangan yang mempunyai tunggakan.

“Justeru, pemilik premis digesa supaya mengambil langkah segera dengan menjelaskan tunggakan bagi mengelakkan daripada harta mudah alih mereka disita,” katanya pada pada sidang media di sini sebentar tadi.

Difahamkan, Seksyen 148 Akta Kerajaan Tempatan 1976 membolehkan pihak berkuasa tempatan (PBT) menyita apa-apa harta mudah alih di dalam premis yang mempunyai tunggakan untuk dilelong.

Dalam perkembangan berkaitan, Suhaida turut memaklumkan bahawa MBPP telah mewujudkan QR Kod pada bil cukai taksiran mulai 1 April ini bagi memudahkan urusan pembayaran.

“Pemilik harta hanya perlu memuat turun aplikasi SnapnPay dan seterusnya mengimbas pada QR Kod untuk membuat bayaran,” ujarnya.

Sebelum itu, beliau bersama-sama Ahli Majlis bagi MBPP menyempurnakan acara cabutan bertuah sempena program Cabutan Bertuah Pembayaran Bil Cukai Taksiran Setahun 2019.

Sebanyak 50 hadiah menarik disediakan seperti basikal, telefon bimbit, Smart TV, komputer riba dan baucar membeli-belah yang akan disampaikan menjelang Mei ini.

Senarai 50 pemenang akan dipaparkan di laman sesawang www.mbpp.gov.my.

Sebagai rekod, sebanyak 58,386 akaun telah membuat bayaran cukai taksiran setahun pada tahun ini dengan jumlah bayaran berjumlah RM17,645,164.

Sebarang pertanyaan, sila hubungi talian 04-259 2178 atau 04-259 2342 Unit Kadar, Bahagian Hasil, Jabatan Perbendaharaan MBPP.

Oleh: SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN
Gambar: ALVIE CHENG