Pemimpin negeri dapat kereta baru

GEORGE TOWN – Sebanyak 15 kereta rasmi jenis Toyota Camry diserahkan kepada pemimpin-pemimpin tertinggi Kerajaan Negeri bagi menggantikan kenderaan lama berusia antara 12 hingga 21 tahun yang digunakan kini di sini.

Majlis ringkas tersebut disempurnakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim, Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Komuniti dan Kesenian, Chong Eng, Exco Pembangunan Pelancongan dan Kebudayaan, Law Heng Kiang dan Exco Pertanian & Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin.

Turut menerima kunci rasmi kenderaan masing-masing adalah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Farizan Darus dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mokhtar Mohd. Jait. .

Guan Eng berkata, kereta rasmi lama sama ada akan digunakan di jabatan-jabatan Kerajaan Negeri lain atau dijual ekoran kos penyelenggaraan yang tinggi.

Sebelum ini, dilaporkan, perbelanjaan kos penyelenggaraan purata Kerajaan Negeri untuk setiap sebuah kenderaan rasmi adalah berjumlah RM20,000 hingga RM30,000 setahun.

Tahun lalu, sebanyak RM370,400 dibelanjakan untuk menyelenggara 21 kenderaan rasmi Kerajaan Negeri manakala 2011 (RM383,000).

Pada tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, sejumlah RM301,238 telah dibelanjakan untuk tujuan yang sama.