Pemohon ‘lama’ dipelawa kemas kini maklumat, perkenalkan skim rumah untuk belia

Admin

GEORGE TOWN – Individu yang memohon rumah mampu milik melalui Sistem Maklumat Perumahan (SMP) sebelum tahun 2020 dipelawa untuk mengemas kini permohonan masing-masing.

Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo berkata, pengemaskinian permohonan perlu dibuat setiap tempoh tiga (3) tahun.

“Mana-mana permohonan yang dibuat sebelum tahun 2020 perlu segera dikemas kini dalam sistem (SMP) jika berlaku perubahan terhadap status perkahwinan atau pendapatan,” ujarnya semasa sesi sidang media mengenai hala tuju polisi dan dasar perumahan di negeri ini dekat Komtar pada 19 September 2023.

Difahamkan, sehingga 31 Ogos 2023, terdapat sebanyak 43,260 permohonan direkodkan melalui SMP yang mana sejak 1 September 2022 Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) telah melancarkan kempen bagi menggalakkan pemohon berdaftar secara dalam talian selaras dengan Visi Penang2030.

DATO’ Seri S. Sundarajoo.

Menurut Sundarajoo lagi, pemohon ‘lama’ boleh mula membuat pengemaskinian data dalam sistem secara dalam talian bagi memudahkan proses penawaran dilakukan.

“Mesyuarat Jawatankuasa Prestasi dan Pencapaian Perumahan atau Housing Outcome Performance Committee (HOPE) Bilangan 1 Tahun 2023 yang diadakan pada 14 September 2023 lalu telah membangkitkan perkara ini.

“Malah, mesyuarat ini juga bakal diadakan setiap bulan bagi memperhalusi dan merangka jumlah permohonon yang didapati (bagi proses penawaran) mengikut tatacara yang telah ditetapkan.

“Oleh itu, diharapkan semua pemohon berupaya mengemas kini permohonan secara dalam talian dan menunggu tibanya giliran penawaran secara automatik.

“Pengemaskinian ini juga merupakan merit yang digunakan untuk menjadikan pendaftaran dalam SMP kekal aktif,” katanya.

DATO’ Seri S. Sundarajoo semasa sesi sidang media yang diadakan di Komtar baru-baru ini.

Berdasarkan rekod LPNPP, sebanyak 915 pemilihan telah dijalankan semasa mesyuarat tersebut membabitkan pemilihan sebanyak 404 unit RMM Jenis A (RMM A), RMM B (81) dan RMM C (430) melibatkan skim-skim perumahan di kelima-lima daerah di negeri ini.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai itu memaklumkan bahawa pihaknya akan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan skim perumahan untuk golongan belia dan bujang.

“Sebagai kesinambungan pelaksanaan terhadap Manifesto Perpaduan Pulau Pinang 2023 di bawah Tema Utama Memperkasakan Golongan Wanita dan Belia, Skim Perumahan Sewa Khas akan diperkenalkan bagi golongan belia dan bujang.

“Selain itu, melalui Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Giam pula, unit-unit kediaman hanya ditawarkan kepada pemohon berkeluarga.

“(Dan) bagi pelbagai golongan sasar Skim Rumah Mampu Milik B40 bakal ditawarkan pada harga RM100,000 hingga RM150,000 selaras dengan Tema Utama Perumahan Untuk Semua,” jelasnya lanjut.

Pengurus Besar LPNPP, ‘Ainul Fadhilah Samsudi; Ketua Pegawai Bisnes LPNPP Fakhurrazi Ibnu Omar dan Ketua Pegawai Operasi LPNPP, Mohd. Fauzy Mohd. Yusoff antara yang turut hadir pada sidang media berkaitan di sini.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : LAW SUUN TING