GEORGE TOWN – Penang & Province Wellesley Silver Jubilee Fund selaku pemilik tanah Rumah Jubli Perak tidak diwakili oleh firma guaman berdaftar bagi tujuan penyediaan dan penelitian draf dokumen perjanjian berkaitan cadangan pembinaan lima blok asrama pekerja dan bangunan tambahan.
Respons Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow terhadap soalan Datuk K. Kirubakaran iaitu peguam plaintif bagi pihak ahli perniagaan, Tan Sri Tan Kok Ping di Kamar 1 Bangunan Annex Mahkamah Tinggi Pulau Pinang di sini pada petang tadi (27 Ogos 2024).
Defendan turut memberitahu Hakim, YA Datuk Quay Chew Soon bahawa draf perjanjian induk, perjanjian sewa dan perjanjian pajakan yang diserahkan oleh pemohon projek tersebut tidak diwakili secara sah oleh mana-mana firma guaman berdaftar.
“Ada perbezaannya antara penasihat undang-undang (bagi Penang & Province Wellesley Silver Jubilee Fund) dan wakil firma guaman yang sah berdaftar (bagi tujuan penyediaan dan penelitian draf dokumen perjanjian berkaitan).
“Pada masa yang sama, Magnificent Emblem Sdn. Bhd. (MESB) dan Winbond Holdings Berhad (Winbond) diwakili secara sah oleh firma guaman (berdaftar) yang sama,” jelasnya yang diwakili peguam, Cheah Eng Soon.
Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menetapkan 17 September ini sebagai tarikh memfailkan hujahan bertulis; manakala pada 15 Oktober 2024 untuk memfailkan hujahan balas.
YA Datuk Quay Chew Soon berkata mahkamah akan membuat keputusan kes saman tersebut jam 9 pagi pada 26 November ini, secara dalam talian (melalui aplikasi Zoom).
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD & ALISSALA THIAN
Video : NURATIKAH RAHMAT