Pemulihan air ke Barat Daya capai 40 peratus, respons Ketua Menteri

Admin
12a162ba 521e 4ce1 a57d 7a4c237be642 KETUA Menteri semasa merasmikan Hari Anugerah Kecemerlangan Sekolah, Majlis Apresiasi Murid Tahun 6 dan Pelajar Pra-Sekolah di Sekolah Kebangsaan Taman Merak di sini pada 27 Januari 2024.

BUKIT TAMBUN – Daripada 120,000 akaun sekitar Daerah Barat Daya yang terjejas dek gangguan bekalan air ekoran kebocoran paip di Sungai Perai sebelum ini, sehingga kini telah pulih kira-kira 40 peratus.

Demikian respons Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow kepada Buletin Mutiara seusai merasmikan Hari Anugerah Kecemerlangan Sekolah, Majlis Apresiasi Murid Tahun 6 dan Pelajar Pra-Sekolah di Sekolah Kebangsaan Taman Merak di sini pada 27 Januari 2024.

“Proses pemulihan akan mengikut jadual, ambil masa…setakat ini sudah capai 40 peratus,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan di sini.

Pada sidang media semalam, Kon Yeow memberitahu bahawa proses pemulihan air bermula sejurus Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) berjaya menyiapkan Pelan A atau projek mengapit paip bocor sedia ada di Sungai Perai pada 4.30 petang, lalu membuka injap kawalan paip air di sana pada 6.30 petang.

Kata Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi itu lagi, PBAPP selaku syarikat operator air negeri akan menutup injap kawalan paip sekali lagi bermula 11.30 malam pada 29 Januari 2024 nanti untuk penyempurnaan kerja-kerja akhir bagi satu lagi projek iaitu Pelan B.

Menurut beliau, Pelan B atau kerja-kerja penyambungan dua paip lencong sementara berdiameter 600 milimeter (mm) dengan paip sedia ada di kedua-dua pinggir Sungai Perai itu nanti akan mengambil masa kira-kira 16 jam.

Selepas itu, Kon YEOW menjelaskan bahawa proses pemulihan air melibatkan 84 peratus daripada 120,000 akaun sekitar Daerah Barat Daya dilakukan bermula 3.30 petang pada 30 Januari 2024, disusuli baki 16 peratus pemegang akun pada 3.30 petang hari berikutnya.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI