Pemulihan bekalan air ke Barat Daya bermula

Admin
05d95351 2593 4afa b72f e36b43a52468 KETUA Menteri (dua dari kiri) dengan diiringi Zairil Khir Johari (paling kiri) dan K. Pathmanathan (tiga dari kiri) menyaksikan beberapa kakitangan PBAPP membuka injap kawalan paip dekat Sungai Perai di sini pada petang tadi (26 Januari 2024).

SEBERANG JAYA – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mula membuka injap kawalan paip sedia ada secara perlahan dekat Sungai Perai pada 6.30 petang tadi, ekoran kerja-kerja mengapit paip bocor di dasar sungai itu siap sepenuhnya pada 4.30 petang tadi.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa syarikat operator air negeri tersebut menjangkakan pada 11.30 malam esok (27 Januari 2024) kira-kira 84 peratus daripada 120,000 akaun sekitar Daerah Barat Daya yang terjejas sebelum ini akan pulih, diikuti baki 16 peratus pada 11.30 malam hari berikutnya.

“Maksudnya, kita memerlukan dua hari untuk proses pemulihan bekalan (air bersih), setelah petugas (PBAPP) membuka injap (kawalan) pada (6.30) petang ini,” jelasnya seusai melawat tapak projek ‘Pelan A’ PBAPP tersebut dekat Sungai Perai di sini pada 26 Januari 2024.

ac4ff34f a99d 4f30 8241 ade131dc42ea
GAMBAR tapak projek Pelan B PBAPP yang ketika ini berada pada tahap akhir dirakamkan pada lewat petang tadi di sini.

Sementara itu, Kon Yeow menyatakan bahawa pihaknya berharap Pelan B iaitu kerja-kerja akhir pembinaan dua paip lencong baharu berdiameter 600 milimeter (mm) merentasi atas Sungai Perai dapat disiapkan menjelang 11.30 malam Isnin depan.

Ini kerana, menurut beliau, PBAPP terpaksa melaksanakan rancangan gangguan bekalan air berjadual di Daerah Barat Daya untuk kerja-kerja penyambungan akhir dua paip lencong baharu dengan paip sedia ada di sini.

“Pada 11.30 malam, 29 Januari 2024, kita (PBAPP) terpaksa sekali lagi menutup injap kawalan paip untuk kerja-kerja penyambungan terakhir (bagi projek Pelan B PBAPP ini)… dijangka mengambil masa 16 jam.

“Pada Selasa, 30 Januari 2024, 3.30 petang, bekalan air mula dipulihkan di bawah Pelan B (PBAPP)… kawasan-kawasan yang terjejas akan kembali mendapat air pada Selasa dan Rabu depan.

“Jadi, saya mengambil kesempatan dalam dua hari ini, kita (PBAPP) dapat ‘sambung air’ di bawah Pelan A ini, diharap pengguna-pengguna dapat sikap air juga,” serunya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari dan Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Ir. K. Pathmanathan turut sertai lawatan tapak dwi projek tersebut bersama-sama Kon Yeow.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN
Video : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR