Penahanan pegawai Jabatan Imigresen bantu siasatan tunjuk ketegasan Kerajaan perangi rasuah dan penyelewengan

Admin
img 20241020 wa0024

PANTAI JEREJAK – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap agar penahanan terbaru dua pegawai Jabatan Imigresen oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang dapat menyelesaikan kes sindiket mengatur kemasukan warga asing menerusi laluan kaunter khas di negeri ini.

Beliau menegaskan bahawa usaha membanteras amalan korupsi dalam kalangan penjawat awam mahupun swasta merupakan agenda berterusan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim.

“Berhubung kes terkini yang mana pihak SPRM telah menahan dua pegawai Jabatan Imigresen untuk membantu siasatan, saya percaya bahawa siasatan ini dilakukan dengan asas-asas yang dianggap perlu oleh pihak berwajib.

“Semoga siasatan ini dapat mencari satu penyelesaian bagi kes-kes sedemikian.

“Siasatan ini juga adalah bagi menghantar mesej yang penting bahawa usaha memerangi rasuah dan penyelewengan akan diteruskan demi menunjukkan ketegasan Kerajaan Madani yang dipimpin oleh Perdana Menteri,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis penutup Pertandingan Debat Piala Ketua Menteri Pulau Pinang 2024 dekat Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC) di sini sebentar tadi.

Terdahulu, media melaporkan bahawa dua pegawai Jabatan Imigresen ditahan reman bagi membantu siasatan kes mengatur kemasukan warga asing menerusi laluan kaunter khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP)

Majistret Muhamad Qayyum Noordin mengeluarkan perintah reman terhadap lelaki dan wanita berusia lingkungan 40-an terbabit sehingga Isnin ini, selepas membenarkan permohonan SPRM Pulau Pinang.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : SIEW CHIA EN