GEORGE TOWN – Penaiktarafan Anjung Kasih Yayasan Kebajikan Negara (YKN) iaitu projek rumah penginapan sementara percuma di Hospital Pulau Pinang (HPP) dengan kos RM850,547.50 merupakan satu langkah proaktif dalam menggabungkan perkhidmatan perubatan dan juga khidmat sosial.
Projek penaiktaraf yang bermula pada 1 Februari 2018 dan siap 1 November tahun yang sama tersebut ditanggung oleh YKN telah dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat selaku Lembaga Pemegang Amanah YKN.
Wan Azizah dalam ucapannya berkata, kewujudan Anjung Kasih sebagai sebuah rumah tumpangan percuma kepada waris pesakit amat penting memandangkan HPP merupakan hospital kedua tersibuk di Malaysia selepas Hospital Kuala Lumpur (HKL).
“Di sini juga merupakan pusat rujukan kedua terbesar negara, justeru kewujudan Anjung Kasih amat penting dalam memberi sokongan moral oleh ahli keluarga kepada pesakit yang sedang menjalani rawatan di HPP terutamanya dalam tempoh yang panjang.
“Anjung Kasih yang sudah beroperasi sejak 2006 dam sehingga kini telah beroperasi di 10 tempat di mana Kerajaan Pusat menampung perbelanjaan kira-kita RM6.9 juta, ia turut mendapat sokongan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sebanyak RM1.6 juta yang diterima daripada pihak swasta,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pandan, Selangor.
Hadir sama Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng; Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan; Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang, Datuk Dr. Wan Mansor Hamzah dan Pengarah Hospital Pulau Pinang, Datuk Dr. Norsidah Ismail.
Afif yang turut berucap pada majlis itu memberitahu, Kerajaan Negeri sememangnya sentiasa memberikan perhatian kepada permasalahan kebajikan, kemiskinan dan juga kesihatan warganya.
Jelasnya, kemiskinan dan kesihatan sememangnya mempunyai kaitan seperti yang tertulis dalam jurnal International Society and Equity of Health.
“Secara ringkasnya hubungan kemiskinan dan tahap kesihatan adalah saling berkait rapat seperti yang ditulis dalam jurnal tersebut berbunyi ‘Kemiskinan adalah sebab dan akibat dari kesihatan yang tidak baik. Kemiskinan meningkatkan peluang untuk kita menjadi tidak sihat. Berada dalam keadaan tidak sihat sebaliknya akan menjadikan masyarakat terperangkap dalam kemiskinan’.
“Oleh sebab itulah, Kerajaan Negeri sentiasa memandang serius aspek-aspek lain yang berkaitan dengan isu kebajikan dan kesejahteraan rakyat, sebagai contoh Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga membela nasib golongan yang kurang berkemampuan melalui pelaksanaan Program i-Sejahtera iaitu Program-program Emas dan Agenda Ekonomi Saksama (AES),” ujar beliau ketika berucap pada Majlis Perasmian Anjung Kasih Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dekat Hospital Pulau Pinang (HPP) semalam.
Dalam pada itu, Wan Mansor ketika ditemui memberitahu bahawa kerja-kerja penaiktarafan tersebut kini mampu menampung sehinga 72 orang pada satu-satu masa berbanding dahulu hanya 44 orang.
“Anjung Kasih yang dahulunya dikenali sebagai Balai Seri Tanjung cuma mampu menampung 44 orang pada satu-satu masa. Tetapi kini setelah dinaiktaraf, ia mempunyai 12 bilik dan 72 katil dengan kapasiti dengan dilengkapi kemudahan yang berkualiti.
“Malah, ia juga dibangunkan menggunakan konsep warisan selari dengan status Bandar Raya George Town yang merupakan Bandar Warisan Dunia UNESCO,” katanya.
Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI