BUKIT TAMBUN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menegaskan bahawa penambahbaikan infrastruktur adalah amat penting dalam usaha menarik pelabur ke negeri ini khususnya di kawasan perindustrian dekat Batu Kawan.
Justeru, katanya, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) kini sedang merancang untuk membina jambatan bagi menghubungkan Batu Kawan ke Nibong Tebal serta jalan yang menyambungkan Bukit Tambun dan Jawi dengan kos kira-kira RM300 juta.
“Penambahbaikan infrastruktur adalah amat penting untuk memastikan kawasan industri dan pembangunan baru dapat menarik pelaburan untuk mendirikan industri komersial serta kediaman supaya pembangunan menjadi lebih seimbang.
“Bagaimanapun, kos untuk menyediakan pelbagai infrastruktur ini adalah sangat tinggi, dan kita (Kerajaan Negeri) berharap agar kerajaan Persekutuan dapat membantu kerana projek-projek yang dirancang memerlukan kos sehingga ratusan juta ringgit,” ujar beliau semasa merasmikan pembukaan Jalan PSPN 2 dekat Penang Science Park di sini sebentar tadi.
Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Gooi Hsiao-Leung; ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik; Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani; Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) Dato’ Sr. Rozali Mohamud dan Pengurus Besar PDC, Datuk Rosli Jaafar.
Difahamkan, kerja-kerja pembinaan Jalan PSPN 2 berkelebaran 30 meter serta mempunyai reka bentuk tiga lorong dua hala sepanjang 1.6 kilometer (km).
Projek berkenaan dilaksanakan dalam dua fasa yang mana fasa pertama sepanjang kira-kira 0.8km dengan kos pembinaan sebanyak RM9.6 juta yang siap pada 2016, manakala fasa kedua, kira-kira 0.8km (RM9.5 juta).
Mengulas lanjut, Kon Yeow menjelaskan bahawa pembinaan Jalan PSPN 2 adalah dibiayai sepenuhnya oleh pihak PDC dengan kos keseluruhan berjumlah RM20 juta.
“PDC mengambil inisiatif meningkatkan rangkaian pengangkutan jalan sedia ada dengan membina Jalan PSPN 2 sebagai laluan alternatif bagi membolehkan trafik dari Batu Kawan dan Bukit Tambun terus ke kawasan Juru menggunakan laluan ke Plaza Tol Tambun.
“Dengan komitmen sambungan dan akses jalan yang baik ini juga turut akan memberi manfaat kepada kawasan berdekatan dengan Seberang Perai Selatan, seperti Byram yang bakal menjadi satu tarikan utama bagi operasi perkilangan serta pertumbuhan ekonomi kelak.
“Justeru, terima kasih kepada pihak PDC dan MPSP atas usaha dedikasi serta proaktif dalam memberi sokongan dan menyediakan infrastruktur untuk memudahkan keperluan pembangunan perniagaan, khususnya di kawasan Seberang Perai,” jelasnya.
Sebagai rekod, kawasan perindustrian Penang Science Park yang sebelumnya berkeluasan 282 ekar kini telah meningkat sebanyak 298 ekar (utara) dan 119 ekar (selatan) yang menjadikan keseluruhan keluasan adalah seluas 699 ekar.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS