Penanaman Satu Juta Pokok Dalam Sehari peroleh pengiktirafan MBOR

Admin
0bba9e79 ea7b 4ef5 817a a13899c4bb09

GEORGE TOWN – Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak menyatakan hari ini merupakan hari kemenangan bagi rakyat negeri Pulau Pinang dek telah melakar sejarah baru.

d320cb31 d3f5 44f2 8e22 a092b047176e
YANG Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Penyampaian Sijil Malaysia Book of Records (MBOR) Penanaman Satu Juta Pokok Dalam Sehari Sempena sambutan Hari Bumi dekat Anjung Seri Mutiara di sini pada 22 April 2024.

“Sasaran penanaman pokok bagi Program Penanaman Satu Juta Pokok Dalam Sehari Sempena Hari Bumi sebanyak satu juta telah berjaya dicapai menjelang tepat jam 11:30 pagi tadi.

“Difahamkan, sehingga jam 5:30 petang, sebanyak 1,251,512 juta pokok telahpun ditanam serentak dalam sehari melibatkan pelbagai lokasi di seluruh negeri Pulau Pinang,” jelasnya.

3158bedd 2ec9 49aa b47b 53b141e9cd3d
KETUA Menteri semasa sesi berucap sebentar tadi.

Pada majlis sama, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa penganjuran program berkenaan sekali lagi membuahkan kejayaan yang akhirnya memanfaatkan seluruh warga Pulau Pinang.

“Pencapaian penanaman satu juta pokok adalah sangat penting dalam usaha menghijaukan Pulau Pinang, selari dengan Visi Penang2030 dalam menjadikan negeri ini sebagai sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

“Syabas diucapkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Amal TYT Pulau Pinang, Dato’ Seri Sr. Rozali Mohamud, yang telah bekerja keras dan memainkan peranan amat penting dalam kerja-kerja perancangan program, mengkoordinasikan sumber-sumber diperlukan, mengatur sumber manusia, memotivasikan tenaga kerja dan seterusnya memantau sehingga program ini mencapai kejayaan.

“Di samping itu, sasaran menanam 500,000 batang pokok telahpun dicapai, dan hari ini kita mencatat sejarah baru dengan menanam satu juta lebih pokok yang akan menjadi tambahan kepada pokok-pokok sedia ada dalam negeri supaya berfungsi dalam mengurangkan kesan pemanasan global melalui penyerapan karbon dioksida terutamanya di kawasan-kawasan yang membangun,” ujarnya semasa sesi ucaptama sebentar tadi.

c10bce0f 4fa4 4603 ade3 de86999b022f
SESI beramah mesra bersama-sama dif jemputan yang turut hadir.

Hadir sama, Yang Dipertua Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Law Choo Kiang; Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid; Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Rosli Isa; barisan Exco Kerajaan Negeri; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Amal TYT Negeri Pulau Pinang, Rozali; Ketua Pegawai Operasi MBOR, Christopher Wong Hong Wai serta Ketua-ketua Jabatan dan para pengamal media.

Tambah Kon Yeow, beliau turut berpendapat bahawa lebih molek jika budaya penanaman pokok disemai terhadap setiap masyarakat.

“Lebih bagus setiap tahun dapat diisytiharkan hari menanam pokok supaya budaya penanaman pokok ini dapat disemai dalam jati diri setiap anak Pulau Pinang, dan sekaligus dapat mendidik anak-anak ini menjadi golongan yang peka serta bertanggungjawab dengan perubahan iklim dan alam sekitar.

“Secara tidak langsung, usaha ini juga mampu meletakkan Pulau Pinang di mata dunia sebagai sebuah lokasi pelancongan hijau dan pusat kajian strategik kemampanan selaras dengan kehendak kemampanan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) di samping lokasi yang mendapat pengiktirafan UNESCO,” tambahnya.


Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL

Gambar : ALISSALA THIAN

Video : SITI NURATIKAH RAHMAT