Penang ATV Eco Tours Balik Pulau sebagai produk pelancongan negeri

Admin

PULAU BETONG – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap Penang ATV Eco Tours Balik Pulau dapat memainkan peranan sebagai salah satu produk pelancongan di Pulau Pinang khususnya.


Menurut beliau, negara kini telah berada dalam fasa peralihan endemik yang membenarkan pelbagai sektor beroperasi semula termasuk pembukaan sempadan antarabangsa.

 

“Kita tahu bahawa kegiatan ATV seperti ini rata-rata ada di mana-mana destinasi pelancongan bagi membolehkan pelancong mencuba aktiviti yang tidak pernah dicubai di tempat sendiri termasuk meluangkan masa bersama-sama kawan-kawan serta keluarga.

 

“Jadi, saya berharap Penang ATV Eco Tours Balik Pulau ini akan dapat teruskan operasinya dengan tawaran pakej-pakej menarik seperti aktiviti melawat bendang, matahari terbenam dan menikmati musim buah-buahan sekitar Balik Pulau,” ujarnya seusai mencuba aktiviti ATV pada Sesi Jelajah ❤️PENANG Parlimen Balik Pulau dekat Kampung Perlis di sini petang tadi.

Turut serta, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Teh Lai Heng; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail; Ahli Parlimen Balik Pulau, Dato’ Muhammad Bakhtiar Wan Chik dan Pegawai Daerah bagi Daerah Barat Daya, Mohd. Hafiz Aswad Nadzri.

 

Ketika jelajah destinasi tersebut, Kon Yeow turut mengambil kesempatan menunggang sendiri ATV sambil melawat mural kontena di Kampung Perlis.

Dalam lawatan berasingan, Kon Yeow turut meluangkan masa melawat Tokong Hean Tean Seng yang sebelum ini menerima sumbangan khas bernilai RM70,000 daripada Peruntukan Khas Ketua Menteri sendiri bagi kerja-kerja penaiktarafan.

 

Tokong berusia lebih 100 tahun berkenaan adalah amat terkenal dalam kalangan masyarakat Cina berketurunan Hakka, Teochew dan Hokkien di Balik Pulau.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI

Video : DARWINA MOHD. DAUD