GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng baru-baru ini mengumumkan pembangunan Penang Designer Village di Batu Kawan, Seberang Perai Selatan (SPS) yang diharap mampu menjadi tarikan baru ke arah menjadikannya lokasi berkualiti untuk berkerja, hidup, belajar, membeli-belah dan bermain.
Katanya, dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) bernilai RM1 bilion, Penang Designer Village merangkumi pusat membeli-belah terunggul, hotel dan pembangunan aset sosial lain dijangka dapat disiapkan dalam tempoh 36 bulan dari tarikh Perjanjian Jual Beli dan Perkembangan Pembangunan (Puchase and Development Agreement – PDA).
“Pembangunan tersebut adalah selaras dengan dasar PDC (Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang) untuk mempromosi dan menjual tanah bagi menarik kemasukkan projek-projek pemangkin untuk Batu Kawan khususnya di Bandar Cassia.
“Dengan adanya pelaburanpelaburan baru, ia dijangka membantu melengkapkan perkembangan pesat di Batu Kawan kelak,” ujarnya dalam sidang media di sini baru-baru ini.
Tambah Guan Eng, kemasukkan syarikat-syarikat ulung seperti Bose Systems, Honda, Malaysian Automotive Lighting dan VAT Manufacturing bukan sahaja membuka peluang pekerjaan, malah mampu menghapuskan persepsi negatif bandar ‘satelit’ baharu ini.
Meliputi kawasan seluas 40 ekar, ikon terbaru tersebut akan dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk pusat membeli-belah mewah bertaraf antarabangsa, 300 bilik hotel bertaraf antarabangsa, kafe, restoran-restoran, taman-taman awam, taman kanak-kanak dan unit rumah kediaman.
Dalam perkembangan sama, pemaju projek pemangkin tersebut, PE Land Sdn. Bhd. (dipilih melalui tender terbuka) hadir memeterai perjanjian PDA bersama PDC dan disaksikan Guan Eng dekat sini.
Pengerusi PE Land Sdn. Bhd., Jason Tai berkata, dengan pembinaan Penang Designer Village, ia bakal mewujudkan lebih 3,000 peluang
pekerjaan bagi penduduk tempatan.
“Kami menjangkakan untuk menyiapkan pusat membeli-belah ini dalam tempoh dua tahun,” kata Jason Tai yang turut hadir bersama perunding projek CB Richard Ellis (Malaysia) Sdn. Bhd., Allan Soo dan Christopher Boyd.