Penang FC lancar jersi musim 2023, kerjasama babit syarikat Kaki Jersi

Admin
SOON Lip Chee (dua dari kiri) diiringi pemain import dari Korea Selatan, Ahn Sae-hee (tiga dari kiri) dan dua pengapit lain dalam gimik pelancaran ‘home jersey’ Penang FC di perkarangan hadapan Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan pada 1 Ferbuari 2023.

BUKIT TAMBUN – Semua penyokong setia pasukan Harimau Kumbang diharap dapat membeli ‘home jersey’ dan ‘away jersey’ Penang FC 2023 yang didatangkan secara eksklusif oleh syarikat Kaki Jersi.

SOON Lip Chee

Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee berkata demikian selepas berucap sempena Majlis Pelancaran Jersi Penang FC Sdn. Bhd. yang dilangsungkan di perkarangan hadapan pintu masuk utama Stadium Negeri Pulau Pinang dekat Batu Kawan di sini pada 1 Februari 2023.

“Jersi Penang FC musim 2023 ini adalah jersi yang sama dipakai oleh para pemain (Harimau Kumbang), boleh dibeli pada harga RM109 sahaja.

“Saya percaya dengan adanya jersi yang cantik ini, dapat menarik lebih ramai peminat kita (Penang FC) kerana syarikat Kaki Jersi ini mereka menjual jersi bukan sahaja untuk saiz orang dewasa, termasuk juga saiz kanak-kanak dan bayi,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal.

ANTARA barisan pemimpin Kerajaan Negeri dan pemain-pemain Skuad Harimau Kumbang yang menyertai majlis pelancaran jersi Penang FC Musim 2023 di sini pada petang tadi.

Penasihat Undang-undang Negeri, Dato’ Norazmi Mohd. Narawi, ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik; ADUN Pengkalan Kota, Danial Gooi Zi Sen; ADUN Sungai Bakap merangkap Pengarah Eksekutif Penang FC, Dato’ Dr. Amar Pritpal Abdullah turut sertai majlis pelancaran jersi dwi corak tersebut.

Di samping itu, Lip Chee turut menzahirkan penghargaan kepada para peminat setia yang berpusu-pusu mendapatkan kedua-dua jenis jersi serta jersi khas sempena sambutan Tahun Baru Cina di kaunter jualan dan promosi anjuran Kaki Jersi sejak petang tadi.

Tambah beliau, Penang FC menjalinkan kerjasama dengan Kaki Jersi dalam musim 2023 dan 2024 yang mana melibatkan penajaan jersi bagi para pemain pasukan Liga Super, Liga Simpanan Bawah 23 Tahun, Piala Presiden dan Piala Belia.

Menjawab soalan pemberita selepas itu, Lip Chee berkata pihaknya menyasarkan Penang FC berada pada kedudukan enam terbaik Liga Super Musim 2023.

“Kita kekalkan sasaran kedudukan enam pasukan terbaik (liga) kerana tidak mahu memberikan lebih tekanan,” jelasnya yang juga Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Penang FC.

Buletin Mutiara difahamkan Kaki Jersi akan membuka gerai promosi dan jualan jersi bola sepak negeri sehingga Ahad ini, sempena temasya bola sepak Piala Harapan di sini.

NIK Mohd. Iqbal

Pengarah Urusan Kumpulan (KOPA), Nik Mohd. Iqbal yang ditemui kemudian berkata pada petang ini sebanyak 1,500 helai jersi disediakan untuk dijual kepada para penyokong setia pasukan Harimau Kumbang.

Selain belian secara dalam talian menerusi portal www.kakijersi.com, beliau memberitahu bahawa jersi eksklusif Penang FC musim 2023 boleh dibeli di Kopa Arena Penang Universiti Sains Malaysia (USM), ibu pejabat Kaki Jersi di Batu Caves Selangor dan Kaki Sukan Universiti Malaya Kuala Lumpur.

“Warna biru pada jersi adalah merujuk pada lautan negeri Pulau Pinang, reka bentuk jersi mengambil masa selama sebulan; dalam tiga minggu juga proses cetak dan jahit jersi ini.

“Bahannya adalah bahan tempatan (iaitu) pro fiber, dengan corak yang unik dan didedikasikan untuk pemain serta para penyokong setia bola sepak negeri Pulau Pinang,” jelasnya lagi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD