Penang FC lawan Terengganu FC, Ketua Menteri harap sumbang mata kemenangan

KETUA Menteri

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Chow Kon Yeow berharap perlawanan akhir pusingan pertama Liga Super Musim 2021 yang menyaksikan Penang FC menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 1 Mei ini akan membawa tiga mata kemenangan.

Sehingga kini, beliau berkata bahawa skuad Harimau Kumbang berjaya memenangi lima perlawanan, seri (empat) dan kalah satu perlawanan semasa menentang Johor Darul Takzim (JDT).

“Setelah menyaksikan empat perlawanan seri dalam keseluruhan (10) perlawanan, kita (Penang FC) patut menang sebab kita menang satu perlawanan akan mendapat tiga mata, berbanding seri tiga perlawanan baru dapat tiga mata.

“Seri perlawanan pun sudah cukup bagus kerana tidak kalah, tetapi untuk memburu mata kemenangan ia adalah tidak mencukupi.

“Harapan besar kita adalah boleh capai matlamat iaitu kekal dalam Liga Super dan akhirnya berada pada kedudukan enam teratas dalam liga,” responsnya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Insentif Pendidikan IPT & Biasiswa Sukan Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) bagi Program Penang Athlete Career Education (PACE) dan Majlis Berbuka Puasa di sini pada 26 April 2021.

Menjawab soalan pemberita, Kon Yeow berkata bahawa setakat ini, pentadbirannya ada memberi ‘token kemenangan’ berjumlah RM10,000 bagi tiap-tiap perlawanan yang dimenangi Skuad Harimau Kumbang.

Selain itu, Kon Yeow turut memuji aksi persembahan para pemain Penang FC menentang Sri Pahang FC dengan kemenangan 3-0 pada Sabtu lepas, walaupun tanpa dua ayam tambatan iaitu Anselmo Da Silva dan Ryuji Utomo.

“Dengan barisan pemain baharu, (Ketua) Jurulatih baharu (Tomas Trucha), mereka dapat bermain secara berpasukan dengan kombinasi yang baik.

“Bagi saya yang sudah menonton beberapa perlawanan, perlawanan pada Sabtu lepas (Penang FC menentang Sri Pahang FC) adalah paling menarik,” ulasnya.

Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee dan Pengarah Eksekutif Penang FC Sdn. Bhd., Dato’ Dr. Amar Pritpal Abdullah turut sertai sidang media tersebut.

Dalam kenyataan berasingan pada Sabtu lepas, Tomas Trucha seakan memberi gambaran bahawa Anselmo Da Silva dan Ryuji Utomo kemungkinan tidak akan diturunkan bagi menentang Terengganu FC memandangkan kedua-dua pemain import berkenaan direhatkan selepas mengalami kecederaan semasa menentang PJ City FC.

Tahun 2018, skuad bola sepak negeri Pulau Pinang diturunkan ke Liga Premier dan masuk kembali Liga Super pada tahun ini, iaitu musim 2021.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : DARWINA MOHD. DAUD