NAMA figura ONG ENG HUA mungkin tidak popular seperti Anselmo Casagrande, Endrick Dos Santos, Sherideen Boboev, Khairu Azrin dan pemain-pemain bintang Penang FC lain.
Namun anak kelahiran Bukit Mertajam yang dipertanggungjawabkan sebagai Pengurus Pasukan Bola Sepak Penang FC (dahulunya Pulau Pinang FA) sejak 2019 menjadi antara watak utama di sebalik kejayaan menempatkan diri dalam tiga pasukan elit Liga Super musim 2021.
Baru-baru ini, wartawan Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI dan Jurufoto, AHMAD ADIL MUHAMAD sempat mengadakan bicarawara bersama-sama Eng Hua di Stadium Negeri Pulau Pinang dekat Kawasan Parlimen Batu Kawan.
Karier awal
Melibatkan diri dalam bola sepak bukan lagi baru bagi Eng Hua, malah beliau memberitahu bahawa berpeluang menceburkan diri dalam pengurusan pasukan sejak tahun 1984.
“Pada masa itu, saya berperanan sebagai pemain, kapten pasukan, jurulatih dan pengurus pasukan saya sendiri iaitu Pusat Sukan Gembira, Bukit Mertajam.
“Kini, pasukan tersebut masih lagi ada, cuma ia diuruskan oleh kawan saya.
“Minat saya terhadap pengurusan sukan memang bertitik tolak daripada itu, selain itu saya memang seorang ahli sukan termasuk olahraga,” ujarnya membuka
bicara.
Tahun 1998, Eng Hua muncul sebagai antara individu awal mengemudi Kelab Bola Sepak Nibong Tebal (NTFA) bersama-sama mantan Presiden Persatuan
Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Dato’ Dr. Amar Pritpal Abdullah.
“NTFA bermain di Liga FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) pada tahun 2002, tahun 2003 kita juara Liga FAM dan berjaya bermain di Liga Perdana untuk tahun 2004, 2005 dan 2006 sebelum berdepan krisis kewangan.
“Pemain-pemain NTFA pada ketika itu juga banyak berjaya diserap masuk ke pasukan Pulau Pinang (FA).
“Saya percaya ini antara pengalamanpengalaman saya sejak 1984 untuk mendapat tempat sebagai Pengurus pasukan Penang FC,” maklum beliau.
Lebih serius
Menurut Eng Hua, beliau mula bertugas dalam pasukan Pulau Pinang FA pada pertengahan musim Liga Perdana 2019 iaitu selepas pusingan pertama liga tamat.
“Masa itu, Pulau Pinang FA berada (di kedudukan) ketiga terbawah, saya dipanggil oleh (Dato’) Amar Pritpal untuk bantu uruskan pasukan.
“Sebelum bermula pusingan kedua, saya sedar, kita perlukan satu kerja keras untuk memulihkan pasukan, daripada itu kita mula mengkaji kekuatan pasukan,
kelemahan dan sebagainya.
“Musim tersebut pada jendela perpindahan kita bawa masuk penyerang sensasi kita, Casagrande serta menambah baik di posisi-posisi lain.
“Hasilnya, kita berjaya menamatkan saingan liga di tempat ketiga, tidak kalah sebarang perlawanan dan layak untuk ‘naik pangkat’ ke Liga Super untuk musim
2020,” jelasnya sambil mengimbau memori suka duka ketika itu.
Memori pahit manis yang dimaksudkan beliau antaranya adalah pemotongan enam mata oleh Jawatankuasa Penganjur Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) ekoran isu gaji dan aduan bekas pemain import kepada Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA).
Rentetan itu, hak Pulau Pinang untuk beraksi pada Liga Super 2020 telah ‘dinafikan’.
Mara melangkah
Setelah mencatatkan rekod tanpa kalah pusingan kedua Liga Perdana 2019, bercerita lanjut, Eng Hua memberitahu bahawa Pulau Pinang meneruskan rentak
kecemerlangan pada tahun 2020 walaupun negara berdepan pandemik COVID-19 yang sekali gus merencatkan persiapan pasukan.
“Liga Perdana musim 2020 Pulau Pinang melebarkan rekod tanpa kalah hampir semusim sebelum ditewaskan oleh Terengganu II dengan jaringan 1-0 pada perlawanan terakhir liga.
“Walau bagaimanapun sebelum itu, kita sudah mengesahkan kejuaraan dan layak ke Liga Super bagi musim 2021,” ujarnya yang pernah mendapat pendidikan
di Sekolah Kebangsaan Simpang Ampat dekat Kawasan Parlimen Batu Kawan juga.
Bermula cabaran 2021, beliau memberitahu bahawa Penang FC menganggap diri sebagai pendatang baharu serta tidak diletakkan
sasaran yang tinggi.
Tambah Eng Hua, pihak pengurusan Penang FC cuma menyasarkan berada dalam kedudukan enam terbaik liga.
Mengulas lanjut, beliau menyatakan bahawa Liga Super yang baharu menamatkan saingan bulan lepas menobatkan Penang FC pada kedudukan ketiga dan
berkemungkinan layak ke saingan Piala Juara-juara Asia (AFC Cup) mengikut syarat-syarat tertentu melibatkan JDT FC dan Kedah FC.
“Hasil kerja keras semua pemain, satu keputusan yang kita anggap bonus dijelmakan oleh para pemain, mereka bermain bermatimatian di atas padang untuk
mendapatkan keputusan positif setiap perlawanan Liga Super.
“Penang FC bukanlah pasukan besar dan tidak menjanjikan ‘bulan dan bintang’, tidak mempunyai bajet besar, bahkan saya berani cakap, perbelanjaan pasukan kita antara yang rendah antara pasuka-pasukan lain dalam Liga Super.
“Bajet kita hanya setaraf pasukan Liga Perdana, tetapi kita bersyukur kerana berjaya jelmakan satu keputusan yang sangat baik dan peminat pun rata-ratanya
berpuas hati,” ulasnya.
Kini, Eng Hua memberitahu bahawa Penang FC sedang berentap dalam saingan Piala Malaysia.
Setelah dua perlawanan, kata beliau, lagi menyaksikan Penang FC mencatatkan satu keputusan kalah menentang Sarawak United dan seri dengan KL City FC.
“Saingan berprestij tahun ini memasuki edisi yang ke-100, dengan format berbeza saingan juga tidak lagi sama dengan liga.
“Walaupun bermula agak perlahan, saya percaya pasukan akan bangkit dalam baki empat perlawanan,” jelasnya sambil menyifatkan persiapan agak terganggu akibat krisis kecederaan yang melibatkan beberapa ayam tambatan pasukan.
Apa yang penting, bagi Eng Hua adalah fokus setiap perlawanan untuk mendapatkan keputusan positif.
Harapan dan masa hadapan
Mengulas lanjut, Eng Hua sememangnya mahu melihat Penang FC sebagai kuasa bola sepak besar; bukan sahaja di tanah air Malaysia, malah di Asia.
“Semua orang mahu ke peringkat tertinggi seperti saingan AFC, untuk itu kita perlu sediakan pasukan yang kuat, tidak semestinya dana sahaja.
“Dalam Penang FC, kita pupuk DNA pemain untuk bermain bersungguhsungguh demi kejayaan pasukan.
“Tahun 1980-an, Pulau Pinang pernah menjadi satu ‘power house’ dalam menghasilkan pemain-pemain ternama dan ia tidak terhenti di situ.
“Jadi, harapan saya juga mahu lihat bakat-bakat muda di negeri ini untuk menyerlah; selepas tamat pandemik (COVID-19), mungkin usaha sama boleh
dijalin bersama-sama semua pasukan daerah untuk cari bakat serta mendapatkan ‘ubi’ (pemain) yang bagus,” ulasnya semasa melontarkan pandangan peribadi tersebut.