Penang Goes Orange 2014 basmi keganasan wanita

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : LAW SUUN TING

GEORGE TOWN – Demi memartabatkan peranan wanita dan membuktikan keprihatinan terhadap golongan Hawa, Kerajaan Negeri melakar sejarahnya tersendiri dengan melancarkan Penang Goes Orange 2014 iaitu kempen menentang keganasan terhadap wanita di sini baru-baru ini.

Kempen seumpamanya itu merupakan yang pertama diadakan pada peringkat negeri dan dilancarkan Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng.

Hadir sama memberi sokongan, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim, ADUN Kebun Bunga, Cheah Kah Peng, ADUN Pulau Tikus, Yap Soo Huey dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Aloyah A. Bakar.

Chong Eng dalam ucapannya menyifatkan kempen berkenaan mampu meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai isu keganasan terhadap wanita yang merupakan satu bentuk pencabulan ke atas hak asasi manusia.

“Keganasan terhadap wanita bukan sahaja merupakan masalah peribadi, tetapi juga masalah umum, (masalah) Pulau Pinang dan (masalah) Malaysia.

“Kita tidak boleh membenarkan keganasan berterusan dan harus bangkit menyatakan ‘TIDAK’ kepada ketidaksaksamaan gender yang menjadi punca penindasan dan keganasan terhadap wanita.

“Rakyat Pulau Pinang harus bersolidariti dengan mangsa keganasan dan menggalakkan mereka (mangsa) tampil mendapatkan keadilan,” katanya pada Majlis Pelancaran Penang Goes Orange 2014 di sini baru-baru ini.

Jelas Chong Eng, sehingga kini, keganasan terhadap wanita masih menjadi masalah di Pulau Pinang dengan sejumlah 4,025 kes keganasan rumah tangga dilaporkan dari tahun 2000 hingga 2013.

“Pada tahun 2013 sahaja, sejumlah 240 kes keganasan rumah tangga, rogol (117) dan mencabul kehormatan (90) dilaporkan serta beberapa kes penderaan yang tidak dilaporkan di negeri ini terjadi.

“Oleh demikian, isu keganasan terhadap wanita perlu didedahkan secara terbuka dan bukannya terhad dalam kalangan aktivis sahaja, kita semua perlu ambil peduli.

“Setiap daripada kita tanpa mengira kaum dan latar belakang perlu berganding bahu dan bersatu demi mewujudkan persekitaran yang selamat serta bebas dari sebarang bentuk keganasan, diskriminasi, penganiayaan dan penderaan,” tegas beliau.

Kempen Penang Goes Orange 2014 adalah sebuah kempen di bawah portfolio Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti dengan kerjasama PWDC.

Bertemakan ‘Hentikan Keganasan, Hormati Wanita’, kempen yang berlangsung selama tiga minggu bermula 23 November lalu berjaya menggamit penyertaan bukan sahaja dalam kalangan aktivis, tetapi juga sektor awam, swasta serta badan bukan kerajaan (NGO) dari dalam dan luar negara.