Penang Hill Festival 2023 raikan funikular cecah satu abad

Admin

GEORGE TOWN – Penang Hill Festival 2023 (PHF2023) kembali lagi dengan menyajikan pelbagai keseronokan sebagai sebahagian daripada untuk mempromosi serta meningkatkan kesedaran mengenai alam semula jadi, sejarah dan warisan budaya di Bukit Bendera.

YEOH Soon Hin.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin berkata bahawa PHF2023 berupaya merancakkan semula sektor pelancongan melalui penganjuran pelbagai acara popular.

“Pada tahun ini, kita bakal meraikan Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) yang menganjurkan acara tahunan (PHF2023) dan istimewanya kali ini adalah landasan kereta api funikular telah berusia satu abad.

“Kerajaan Negeri sentiasa memberikan sokongan utuh melalui kempen ‘Experience Penang’ yang bertujuan meningkatkan pelancongan serta memacu pemulihan ekonomi negeri,” jelasnya semasa sidang media penganjuran PHF2023 dekat Komtar baru-baru ini.

Turut hadir, Pengurus Besar Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PHC), Dato’ Cheok Lay Leng, Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Utara, Shahrul Aman Sabir Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif Penang Global Tourism (PGT), Ooi Chok Yan.

Pada masa sama, Soon Hin turut menyeru pengunjung yang berminat untuk menyertai festival berkaitan yang bakal diadakan pada 21 sehingga 23 Julai 2023 ini.

“Fokus utama penganjuran PHF2023 adalah untuk memberi pengalaman pendidikan dan pengetahuan di samping mendekatkan pengunjung dengan hidupan alam semula jadi.

“Pelbagai program dan aktiviti menarik ditawarkan seperti sesi ceramah, aktiviti berjalan kaki terokai warisan dan alam semula jadi, pameran, bengkel fotografi dan videografi, dan acara kemuncak menandatangani PHF2023 22 Julai ini.

CHEOK Lay Leng semasa sidang media baru-baru ini.

Sementara itu, Lay Leng turut menyatakan bahawa PBBPP sentiasa berusaha membawa kelainan dalam penganjuran PHF2023.

“Sudah tentu pihak kami ingin menjadikan program berkaitan berorientasikan kekeluargaan serta membawa pengunjung melihat bukit-bukau, menikmati alam semula jadi dan menghirup udara segar yang sejuk sambil mempelajari sejarah Bukit Bendera yang bertepatan dengan slogan ‘See the Nature, Feel the History’.

“Sekitar tahun 2019, seramai 1.86 juta pengunjung datang berkunjung ke sini, kemudian pada awal tahun ini, lebih 400,000 pengunjung direkodkan dan diharapkan menjelang akhir tahun nanti jumlah pengunjung akan melebihi dari tahun 2019,” tambahnya lagi sambil menzahirkan penghargaan terhadap Kerajaan Negeri yang tidak putus memberi sokongan.

Difahamkan, antara persembahan lain yang bakal diadakan termasuk daripada kumpulan boria, sitar klasik dan penghibur meja serta orkestra Cina untuk memeriahkan lagi suasana di PHF2023.

Untuk makluman lanjut mengenai butiran aktiviti (tertakluk kepada sebarang perubahan) dan pendaftaran bagi PHF2023, sila layari www.penanghill.gov.my/phf2023 ataun ikuti laman Facebook rasmi PBBPP di www.facebook.com/mypenanghill.

Sebarang pertanyaan juga boleh dihantar melalui emel ke [email protected].

 

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD