‘Penang Hill Heritage Forest Challenge’ 2019, bantu promosi Bukit Bendera sebagai destinasi ekopelancongan

AIR ITAM – Penyertaan kira-kira 1,000 peserta bagi acara mendaki ‘Penang Hill Heritage Forest Challenge’ 2019 bantu mempromosikan Bukit Bendera sebagai destinasi ekopelancongan di Pulau Pinang.

Perkara tersebut dinyatakan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Wong Hon Wai ketika berucap pada majlis penutupan dan penyampaian hadiah acara tersebut baru-baru ini.

“Ia dipromosikan bukan sahaja melalui peserta dari dalam negara bahkan saya difahamkan ia turut disertai para peserta dari 12 negara lain.

“Melalui penganjuran program ini juga, saya berharap ianya dapat meningkatkan kesedaran terhadap orang ramai akan peri pentingnya menjaga alam sekitar dan warisan di Bukit Bendera ini.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih dan syabas kepada Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) atas penganjuran program kali keenam ini sebagai acara tahunan,” ucapnya lagi.

Hadir sama,Pengurus Besar PBBPP, Dato’ Cheok Lay Leng.

Tambah beliau, program tersebut bukan sahaja menguji ketahanan fizikal para peserta malah mereka dapat menikmati serta mendekatkan diri dengan kekayaan hutan dan alam sekitar yang hijau.

Penganjurkan program itu merupakan kerjasama antara ‘Actifestyle Concept’, Persatuan Penduduk Bukit Bendera dan ‘Penang Amateur Athletics Association’.

Terdahulu, Lay Leng bersama-sama Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee dan Pembantu Khas Ahli dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Hong Kian Beng menyempurnakan pelepasan peserta bagi acara tersebut.

 

Oleh: SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN
Gambar: PBBPP