Penang Institute platform kembang idea baru untuk kesejahteraan PP

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Prinsip urustadbir Cekap, Akauntabel dan Telus atau CAT yang ditelusi oleh Kerajaan Negeri sepanjang tempoh empat tahun ini telah menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri pertama yang mengungguli pelbagai bidang dan turut menjadi negeri pertama yang memperkenalkan sistem tender terbuka bagi sebarang perolehan dan perbekalan di Malaysia.

KETUA Menteri bergambar kenang-kenagan bersama antara barisan dif-dif kehormat yang hadir pada Majlis Perasmian Penang Institute di sini baru-baru ini.
KETUA Menteri bergambar kenang-kenagan bersama antara barisan dif-dif kehormat yang hadir pada Majlis Perasmian Penang Institute di sini baru-baru ini.

“Kita menerima banyak tohmahan dan tentangan bila kita melaksanakan sistem ini. Namun akhirnya kita berjaya laksanakannya, kerana dalam dunia yang kompetitif, tiada ruang buat mereka yang tidak efektif,” ujar Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam ucaptamanya di Majlis Perasmian Institut Pulau Pinang (Penang Institute – PI) di sini baru-baru ini.

Dalam ucapan perasmian beliau, beliau turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri telah berjaya mencipta rekod lebihan belanjawan sejak tahun 2008 dan menyalurkan lebihan tersebut untuk kesejahteraan rakyat dengan mewujudkan pelbagai program-program kebajikan. Antaranya, Program Penghargaan Warga Emas, Program Rakan Anti – Kemiskinan, Program Bantuan bagi Orang Kelainan Upaya (OKU), Program Anak Emas, Program Bantuan Kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Program Ibu Tunggal.

Tambah beliau lagi, kejayaan empat tahun telah didasari oleh lima faktor penentu utama iaitu wujudnya ruang kemahiran dalam pelbagai bidang, menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah hub logistik yang mempunyai jaringan bersepadu antara pelabuhan, keretapi dan lapangan terbang dan kewujudan ekosistem perkhidmatan rantaian bekalan.

Dalam pada itu, Jawatankuasa Tertinggi PI, Liew Chin Tong turut menyatakan bahawa PI merupakan salah satu  usaha menyediakan platform bagi perkembangan idea-idea baru dalam pelaksanaannya demi kesejahteraan Pulau Pinang.

“Sememangnya dunia menyaksikan perubahan yang sebelum ini dianggap mustahil.

Namun, hari ini, kita berada di sini untuk memikirkan tentang masa depan Pulau Pinang di mata dunia,” ujar Chin Tong dalam ucapan alu-aluannya.

Dalam majlis yang sama, satu perbincangan berkaitan isu proses penggubalan polisi, ‘Reflections on how to Improve the Policy-Making Process in Malaysia’ turut diadakan. Antara ahli panelnya Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dan Ahli Parlimen Parit Buntar, Mujahid Yusof Rawa.

Malah, PI turut menjemput penerima Anugerah Nobel dalam bidang Sains Ekonomi pada tahun 1996, Prof. Sir James Alexander Mirrlees sebagai penceramah utama dengan membincangkan isu kewangan dan kegawatan ekonomi dunia.