Penang Medi-City perkukuh kedudukan Pulau Pinang sebagai hab utama pelancongan perubatan Asia Tenggara

Admin
whatsapp image 2025 01 20 at 15.31.42

GEORGE TOWN – Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan Fajarbaru Builder Group Bhd. (FBG) menandatangani perjanjian pembelian serta pembangunan induk bagi pelaksanaan Projek Penang Medi-City dekat Batu Kawan.

Perjanjian ditandatangani antara Ketua Pegawai Eksekutif PDC, Dato’ Aziz Bakar dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Eksekutif FBG Bhd., Tan Sri Chan Kong Choy.

Majlis penandatanganan disaksikan oleh Yang Dipertua Negeri (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

Melalui perjanjian tersebut, FBG Bhd. bakal membangunkan sebuah taman teknologi kesihatan, institusi kesihatan hibrid, kediaman dan pusat komersial secara berfasa di atas tanah seluas 235.8 ekar milik PDC.

Semasa menyampaikan ucaptama, Kon Yeow menyifatkan majlis penandatanganan tersebut sebagai sejarah penting yang menandakan permulaan kepada babak baharu dalam pembangunan dan inovasi di Pulau Pinang.

Menurut beliau, pembangunan Projek Penang Medi-City adalah selari dengan Visi Penang2030 dan bakal memperkukuh kedudukan Pulau Pinang sebagai hab utama pelancongan perubatan di Asia Tenggara serta peringkat global.

“Dengan gabungan kemudahan kesihatan moden dan prasarana yang canggih, Penang Medi-City menyokong matlamat strategik Pulau Pinang untuk mengukuhkan prasarana serta menarik pelaburan signifikan, sama ada dari dalam atau luar negara.

“Bukan sekadar projek infrastruktur, Penang Medi-City juga merupakan satu visi holistik yang menggabungkan aspek kesihatan, ekonomi dan kelestarian untuk memastikan masa depan yang lebih baik bagi semua pihak yang terlibat, termasuk penduduk tempatan serta komuniti global.

“Malah, projek ini turut memainkan peranan penting dalam memperbaharui dan memperkasa sektor pelancongan serta industri kesihatan di negeri ini,” katanya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi pada majlis berkaitan.

whatsapp image 2025 01 20 at 15.31.46whatsapp image 2025 01 20 at 15.31.47whatsapp image 2025 01 20 at 15.34.18whatsapp image 2025 01 20 at 15.34.19

Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan berkata, dengan tumpuan kepada pelancongan perubatan, Penang Medi-City dijangka memberikan impak besar kepada ekonomi negeri.

“Ia sekali gus meningkatkan status Pulau Pinang sebagai pusat utama dalam penjagaan kesihatan, seterusnya mengukuhkan reputasinya sebagai peneraju kesihatan.

“Kehadiran pelawat ke Penang Medi-City akan memberi kesan yang signifikan terhadap ekonomi tempatan, terutamanya dalam merancakkan ekosistem perniagaan dan mencipta pelbagai peluang baru.

“Justeru, projek ini bukan sahaja memberikan manfaat kepada sektor kesihatan, tetapi juga membuka ruang bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk berkembang, serta menyediakan platform yang penting bagi perkembangan kemahiran dan kerjaya,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau menyatakan bahawa pelancongan perubatan yang berkembang pesat telah menjadikan Pulau Pinang sebagai salah satu destinasi utama untuk pelancong yang mencari rawatan kesihatan berkualiti tinggi dengan kadar yang lebih berpatutan.

“Pulau Pinang kini mendominasi sektor pelancongan perubatan di Malaysia, dengan 45 peratus daripada pendapatan sektor pelancongan perubatan negara datang dari negeri ini.

“Dengan sokongan Kerajaan Negeri dan pembangunan projek seperti Penang Medi-City, Pulau Pinang dijangka terus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelancongan perubatan utama di Asia Tenggara,” katanya.

Kon Yeow memberitahu bahawa pebangunan Penang Medi-City yang merupakan sebahagian daripada Pelan Induk Pembangunan Batu Kawan yang dirangka sejak 15 tahun lalu.

“Projek ini dijangka menyediakan ribuan peluang pekerjaan baharu semasa proses pembinaan, termasuk pekerjaan berkemahiran tinggi yang bakal ditawarkan oleh operator-operator terlibat apabila ia siap kelak.

“Ini merupakan antara pelaburan terbesar dalam sektor swasta di Seberang Perai dan Batu Kawan,” jelasnya.

Sementara itu, Kong Choy berkata Fasa 1 pembangunan Penang Medi-City seluas 51.17 ekar dijangka menyumbang kepada Keluaran Negara Kasar (KDNK) bernilai RM2 bilion.

“Seluas 15.3 ekar daripadanya akan diperuntukkan untuk komponen penjagaan kesihatan, termasuk sebuah hospital dengan 200 katil yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan perubatan moden dan holistik.

“Baki 35.8 ekar lagi akan diperuntukkan untuk pembangunan kediaman dan komersial, yang menyokong visi untuk mewujudkan sebuah pusat pembangunan yang dinamik di Batu Kawan.

“Secara keseluruhan, tidak kurang daripada empat buah hospital dalam pelbagai disiplin termasuk kesihatan jantung, onkologi, wanita dan kanak-kanak serta lain-lain akan dibangunkan di Penang Medi-City,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS