Penang Science Cafe jana bakat P. Pinang – KM

Admin

BAYAN LEPAS – Ketua Menteri, Y. A . B . Tuan Lim Guan Eng baru-baru ini merasmikan majlis pelancaran ‘ Penang Science Cafe @ Krystal Point’ di sini, dengan usaha bersama syarikat elektronik terkemuka , Agilent Technologies dan Kerajaan Negeri melalui Penang Science Cluster.

Beliau dalam ucapannya menyebut, Kerajaan Negeri berhasrat untuk menubuhkan lebih banyak lagi pusat sehenti sains seumpama itu pada masa depan demi menyalurkan tenaga bakat Pulau Pinang ke seluruh negeri.

“Projek perintis ini akan menjadi asas bagi lebih banyak pusat satelit bakal ditubuhkan di masa depan untuk menyalurkan tenaga teknikal dan inovatif dari seluruh pelusuk negeri ini.

“Menerusi (projek seumpama) ini, kami akan membangunkan komuniti sains yang akan membantu mencorakkan masa depan Pulau Pinang,” katanya di sini.

Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih memberitahu, Kerajaan Negeri kini pada peringkat akhir untuk membina pusat Penang Science Cafe yang lebih besar di Wisma Yeap Chor Ee, dekat George Town, yang akan berperanan sebagai pusat pembelajaran sains.

Tambah beliau, pusat sehenti sains tersebut turut menyediakan kemudahan, ruang serta peralatan untuk Pulau Pinang membina bakat serta menguji ciptaan masing-masing.

Sebelum itu, Naib Presiden Agilent Technologies, Datuk Gooi Soon Chai memberitahu, projek itu bakal menyediakan persekitaran yang kondusif untuk orang mudamudi membangunkan minat mereka dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik.

Sejak pra pelancaran pada bulan Disember tahun lepas, ‘Penang Science Cafe @ Krystal Point’ telah menerima lebih 1,500 peserta serta 200 sukarelawan yang menjalankan lebih 44 aktiviti di sini.

Difahamkan, projek inovasi bakat Pulau Pinang itu dijangka siap sepenuhnya pada akhir tahun ini.