Penang SEED ‘kesinambungan’ pelan lima tahun Visi Penang2030, respons Ketua Menteri

Admin
KETUA Menteri (tiga dari kiri) menyempurnakan acara gimik pelancaran Penang SEED 2023-2028 di Penang Institute, sambil disaksikan oleh Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman (kanan sekali), Prof. P. Ramasamy (kiri sekali) dan Dr. Ooi Kee Beng (dua dari kiri) pada 12 Jun 2023.

PULAU TIKUS – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow hari ini melancarkan dokumen pelan pembangunan lima tahun negeri bagi tempoh 2023 hingga 2028 yang dikenali sebagai Strategi Pembangunan Ekosistem Ekonomi Negeri Pulau Pinang atau singkatannya ‘Penang SEED’.

Bercakap kepada pemberita, Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi memberitahu bahawa Penang SEED 2023-2028 merupakan kesinambungan kepada pelan lima tahun yang dilancarkan pada bulan Ogos 2018 iaitu Visi Penang2030.

“Ia (Penang SEED 2023-2028) adalah suatu kesinambungan… di mana-mana organisasi pun baik institusi mahupun kerajaan memang ada ‘blueprint’.

“Apabila kita menggubal Visi Penang2030, kita (Kerajaan Negeri) lihat dari satu sudut yang lain, dan jawapannya seperti perbentangan pasa Jumaat lalu iaitu hasil usaha selama lima tahun (2018-2023).

“Blueprint akan kekal sebagai blueprint apabila tidak ada ‘footprint’ (rekod kerja-kerja bagi merealisasikan pelan perancangan tersebut),” jelasnya pada sidang media bersempena pelancaran ‘Penang SEED’ di Penang Institute, dekat sini pada 12 Jun 2023.

KETUA Menteri dalam sidang media berkaitan di Penang Institute di sini pada tengah hari tadi (13 Jun 2023).

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa terdapat beberapa elemen pertambahan atau pengurangan dimuatkan dalam Penang SEED 2023-2028 dengan mengambil kira semua cabaran serta kekangan semasa pelaksanaan pelan lima tahun negeri terdahulu iaitu Visi Penang2030 sebelum ini.

Justeru, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan menyatakan bahawa pihaknya berharap dengan adanya dokumen hitam putih Penang SEED 2023-2028, ia turut akan menjadi rujukan kepada semua agensi berkaitan bagi merealisasikan pelan tindakan pembangunan strategik negeri untuk tempoh lima tahun mendatang.

Sebelum itu, Kon Yeow diiringi Pengarah Eksekutif Penang Institute, Dato’ Dr. Ooi Kee Beng melancarkan dokumen hitam putih ‘Strategic for Economic Ecosystem Development’ atau ‘Penang SEED’.

Kon Yeow dalam pada itu memberitahu bahawa ‘Penang SEED’ dihasilkan dengan mengambil kira realiti ekonomi serta aspek pembangunan semasa yang diperlukan di Pulau Pinang, merangkumi dokumen dasar, pendirian-pendirian Kerajaan Negeri serta dapatan semua pemegang taruh berkaitan.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; Pegawai Kewangan Negeri, YB Puan Zabidah Safar dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Azhar Arshad merupakan antara hadirin yang menyertai majlis pelancaran dan penerangan mengenai Penang SEED 2023-2028 tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : SIEW CHIA EN