AIR ITAM – Memupuk minat generasi muda terhadap sains dan matematik haruslah dimulakan sejak di bangku sekolah lagi agar masa depan Pulau Pinang tidak ketandusan bakat sebagai sebuah negeri berteknologi dan industri.
Menurut Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy, hasrat tersebut sejajar dengan matlamat STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) Pulau Pinang yang mahu melahirkan bakat-bakal baharu dalam menerajui Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).
“STEM Pulau Pinang pada dasarnya ditunjangi beberapa organisasi seperti Tech-Dome Penang (TDC), Penang Science Cluster, Penang Math Platform dan Penang Skills Development Centre (PSDC) memacu ke arah pembelajaran STEM secara praktikal dan terus bermula dari peringkat sekolah ke peringkat atasan.
“Serentak dengan itu, penubuhan Perpustakaan Digital Pulau Pinang (PDL) berupaya menyediakan sumber rujukan ilmiah dalam menambah kepakaran dengan subjek-subjek berkaitan,” ujar Ramasamy ketika merasmikan pameran Penang STEM Showcase 4.0 bertempat di Dewan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Han Chiang di sini baru-baru ini.
Pameran pada kali ini menyasarkan memperkenalkan kepakaran dan teknologi baharu kepada para pelajar.
“Antara yang dipamerkan pada program yang berlangsung selama dua hari ini termasuklah, robotik, kecerdasan buatan, dron dan lain-lain lagi yang merangkumi bidang STEM.
“Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang, Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi yang menyokong program ini serta syarikat-syarikat multinasional yang menjadi tunjang kepada matlamat program ini,” katanya yang juga Exco Pembangunan Modal Insan, Pendidikan, Sains & Teknologi.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : ALISSALA THIAN