Penang World Clean Up Day semai sikap cintai kebersihan pantai

img 20240907 wa0009

BAYAN LEPAS – Kira-kira 115 peserta mengambil bahagian dalam program hijau, Penang World Clean Up Day anjuran Pertubuhan Wanita Mutiara (PWM) dan Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Daerah Barat Daya pada tahun ini.

Program yang dianjurkan buat kali kedua turut mendapat kerjasama daripada agensi negeri, Penang Green Council (PGC), Pusat Kajian Samudera & Pantai (CEMACS) serta Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

img 20240907 wa0012
Tan Lean Kee menyampaikan penghargaan kepada pihak terlibat menjayakan program berkaitan.

Lebih membanggakan, program tersebut yang berjaya mengumpul 65.64 kilogram (kg) sampah dalam masa satu jam turut melibatkan penyertaan kanak-kanak seawal usia empat dan lima tahun.

Pengerusi PWM, Puan Tan Lean Kee berkata walaupun program tersebut dianjurkan dalam skala kecil, namun usaha murni itu mampu menyemai sikap menjaga kebersihan pantai dalam kalangan masyarakat di negeri ini.

img 20240907 wa0016img 20240907 wa0014img 20240907 wa0017img 20240907 wa0018img 20240907 wa0011

“Perubahan dan kesan yang besar biasanya bermula daripada usaha kecil yang konsisten.

“Selain itu, saya berharap agar inisiatif ini turut dapat mengurangkan ancaman kepada kehidupan laut daripada tercemar dengan sisa kimia dan mikroplastik.

“Perkara itu juga dikhuatiri akan menjejaskan kesihatan manusia akibat termakan makanan laut yang tercemar dengan mikroplastik atau sisa kimia,” katanya ketika merasmikan majlis penutup program berkaitan dekat Queens Waterfront Q1 Commercial, di sini sebentar tadi.

Turut hadir, isteri Timbalan Ketua Menteri I, Datin Noraini Abdul Jalil; Pengarah CEMACS, Dato’ Aileen Tan Shau Hwai; Pengurus Besar PGC, Josephine Tan Mei Ling; Timbalan Pengerusi PUSPANITA Daerah Barat Daya, Nurshamsinaz Shamsuddin dan Ketua Pegawai Operasi Ideal Property Group, Dato’ Connie Ang Chuan.

Justeru, beliau menyeru seluruh masyarakat di negeri ini untuk bersama-sama berganding bahu dalam memastikan hidupan marin tidak terjejas di samping menjaga keindahan pantai dengan menghentikan penggunaan plastik sekali guna dalam kehidupan seharian.

“Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah menyumbang kepada kejayaan program pagi ini,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING