Penang World Cleanup Day 2022 sasar 3,600 sukarelawan

Admin

GEORGE TOWN –Penganjuran World Cleanup Day yang terhenti selama dua tahun akibat pandemik COVID-19 kembali diadakan pada tahun ini dengan menyasarkan penyertaan 3,600 sukarelawan.

 

 

Pengasas Aimpactz Social Enterprise, Dr. Choong Jian Ming berkata penganjuran Penang World Cleanup Day 2022 akan memberi fokus kepada 60 kawasan tumpuan dalam menjayakan misi tersebut.

 

 

“Objektif penganjuran kali ini adalah penglibatan masyarakat, kolaborasi dan kerjasama, persekitaran bersih, hijau, sihat dan selamat serta mesej jelas melalui pengumpulan data.

 

 

“Pada tahun 2019, seramai 900 orang sukarelawan terlibat dalam program ini dan untuk tahun 2022 kami menyasarkan seramai 3,600 orang sukarelawan tanpa mengira lapisan masyarakat.

 

 

“Program ini akan dijalankan mengikut fasa dengan Fasa 1 adalah membabitkan penglibatan pihak berkepentingan serta latihan tiga pusingan.

 

 

“Fasa ini akan melibatkan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJKC) Union pada 14 Ogos (Ahad), MakerSpace@Balik Pulau pada 4 September (Ahad) dan Dewan Haji Ahmad Badawi Butterworth pada 10 September,” ujar yang juga pengerusi penganjur dalam sidang media Penang World Cleanup Day 2022 di Komtar semalam.

 

Hadir sama, Exco Alam Sekitar dan Kebajikan, Phee Boon Poh; Pengurus Besar PGC, Josephine Tan Mei Ling; wakil-wakil pihak berkuasa tempatan (PBT) serta wakil-wakil badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat.

 

 

Jian Ming berkata, Fasa 2 pula membabitkan pembersihan secara fizikal yang akan diadakan pada 27 Ogos ini bagi peringkat sekolah dan 24 September untuk orang awam.

 

 

“Kawasan pembersihan akan dibahagikan mengikut kategori seperti pantai, kawasan komuniti, taman dan lain-lain.

 

 

“Manakala Fasa Ketiga adalah mengumpulkan segala data, maklumat secara saintifik dan sistematik untuk menentukan tindakan selanjutnya,” jelas Jian Ming lagi.

 

 

Sementara itu, Boon Poh turut mengajak orang ramai untuk bersama-sama menyertai Penang World Cleanup Day 2022 yang turut disertai 191 buah negara.

 

 

“World Cleanup Day merupakan satu gerakan sivik yang penting bagi menghantar mesej kepada masyarakat.

 

“Kerja-kerja pembersihan seperti ini bukanlah satu aktiviti yang perlu dijalankan selama-lamanya, kerana apa yang lebih penting adalah tabiat membuang sampah merata-rata ini perlu dihentikan sepenuhnya,” katanya.

 

 

Bagi yang berminat untuk menyertai Penang World Cleanup Day 2022, boleh layari www.aimpactz.com.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : LAW SUUN TING