‘Penang2030’ bergantung kepada penglibatan, semangat rakyat Pulau Pinang

Admin

GEORGE TOWN – Dalam tempoh 12 tahun dari sekarang, Kerajaan Negeri mensasarkan kemakmuran hidup sebenar dapat dinikmati rakyat, selain Pulau Pinang dikenali sebagai negeri paling hijau di Malaysia.

Demi mencapai impian tersebut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menggagaskan wawasan pembangunan negeri iaitu Penang2030, yang terdiri oleh empat tema utama.

Empat tema itu, menurut beliau, adalah meningkatkan taraf hidup serta kualiti hidup penduduk; mengembangkan saiz ekonomi demi meningkatkan pendapatan isi rumah; memperkasa rakyat demi mengukuhkan sistem masyarakat sivil dan pelaburan Kerajaan Negeri dalam pembangunan alam semula jadi agar lebih berdaya tahan.

“(Penang2030) ini adalah gagasan berwawasan yang realistik dan praktikal, kerana ia membabitkan pembangunan beberapa projek yang sedang dilaksanakan.

“Dan, ia (Penang2030) ini bergantung kepada penglibatan serta semangat rakyat Pulau Pinang membabitkan tenaga pakar daripada kalangan pegawai terpilih, kakitangan awam berkebolehan, sektor swasta dan banyak agensi kerajaan,” katanya pada Majlis Pelancaran Penang 2030 di sini 29 Ogos 2018.

Hampir semua Exco Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang; Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN); barisan Ahli Parlimen; ketua-ketua jabatan kerajaan; perwakilan-perwakilan pertubuhan bukan kerajaan (NGO); para pemain industri korporat dan sektor swasta, kira-kira 500 hadirin, turut sertai sesi ucapan serta interaksi dua hala tersebut di sini.

Menurut Kon Yeow, sejak Pakatan Harapan mengambil alih Kerajaan Negeri pada tahun 2008, bekas Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang kini adalah Menteri Kewangan Malaysia telah meletakkan Pulau Pinang sebagai jaguh dalam ekonomi.

Selain itu, tambahnya, pentadbiran Guan Eng juga berjaya menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri hijau dengan pelbagai polisi serta program memelihara alam sekitar.

Melihat kepada rekod-rekod kecemerlangan dalam tempoh 10 tahun lepas, Kon Yeow menyatakan bahawa Penang2030 akan berusaha melonjakkan lagi potensi Pulau Pinang sebagai destinasi pelaburan pilihan utama di rantau ini.

Tegasnya, Kerajaan Negeri akan terus memanggil semua pihak berkepentingan untuk melabur bukan sahaja dalam pembangunan infrastruktur ekonomi, bahkan menghijaukan lagi alam semulajadi Pulau Pinang.

Difahamkan, pelaburan keseluruhan ke Pulau Pinang pada tahun 2017 direkodkan sejumlah RM10.81 bilion, meletakkan negeri di kedudukan kedua terbaik di belakang Johor (RM21.92 bilion).

Pun begitu, RM8.03 bilion pelaburan langsung asing (FDI) ke Pulau Pinang sehingga bulan September 2017 adalah tertinggi berbanding negeri-negeri lain.

“Walaupun ada kebimbangan dalam menguruskan (perbelanjaan) fiskal, Kerajaan Negeri akan terus berusaha menarik pelabur domestik dan pelabur asing ke Pulau Pinang, demi mewujudkan lebih banyak lagi peluang pekerjaan berkualiti untuk warga penduduk negeri.

“Ini semua menyebabkan kita (Pulau Pinang) mempunyai ekonomi berdaya saing dan stabil, sehingga menggamit minat di peringkat antarabangsa.

“Sesungguhnya, Pulau Pinang sekarang berada dalam peta global, dilihat sebagai negeri destinasi pelaburan utama serantau,” jelas Kon Yoew.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, Kerajaan Pusat pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), 9 Mei 2018, mempunyai komitmen untuk memulihkan semula pentadbiran serta ekonomi negara.

“Berbanding 10 tahun lampau, keadaan Pulau Pinang hari ini adalah lebih baik untuk rakyat Malaysia berbanding di negeri-negeri lain,” ujarnya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Kata Kon Yeow, segala polisi yang akan diperincikan di bawah Penang2030 bakal memberi tumpuan terhadap aspek pembangunan kekeluargaan dalam menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri hijau dan pintar, serta lonjakan ekonomi dan pembentukan rakyat sivil.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD