Penangguhan bina semula Masjid Sungai Nibong Besar bersifat sementara, untuk jajar semula LRT – TKMI

GEORGE TOWN – Penangguhan projek pembinaan Masjid Sungai Nibong Besar sebenarnya berpunca oleh proses penjajaran semula pelan Transit Aliran Ringan (LRT) di sini.

IR. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, cadangan jajaran LRT tidak akan mengubah pelan asal pembinaan masjid yang mana masjid akan dibina di atas tapak asal masjid dan pihak masjid juga akan mendapat tanah tambahan.

Tambah beliau lagi, berdasaskan perancangan Jabatan Kerja Raya (JKR) pembinaan masjid ini akan dimulakan pada Januari 2020.

“Penjajaran semula jajaran LRT ini juga telah menyebabkan pelaksanaan projek ini tertangguh disebabkan oleh pihak JKR perlu membuat pindaan susun atur pelan masjid berdasarkan perubahan tersebut.

“Cadangan jajaran ini tidak akan mengubah pelan asal pembinaan masjid yang mana masjid akan dibina di atas tapak asal masjid dan pihak masjid juga akan mendapat tanah tambahan, iaitu bersebelahan dengan Lot 10067 Mukim 13 Daerah Timur Laut, iaitu di hadapan mehrab masjid.

“Kerajaan Negeri berpendirian bahawa jajaran LRT yang akan dilaksanakan adalah jajaran yang terbaik untuk semua pihak,” ujarnya dalam Sesi Soal Jawab Lisan, Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-14 di Dewan Sri Pinang dekat sini pada 4 November 2019.

MUHAMAD Yusoff Mohd. Noor.

Beliau yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Industri dan Perhubungan Masyarakat memberi respons itu sebagai menjawab persoalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua, Dato’ Muhamad Yusoff Mohd. Noor yang juga Ketua Pembangkang Pulau Pinang.

Penjelasan Ahmad Zakiyuddin itu sekaligus menjawab asakan sekumpulan umat Islam yang melancarkan demonstrasi aman di luar perkarangan Dewan Sri Pinang pada sebelah pagi tadi.

Ahmad Zakiyuddin yang juga ADUN Pinang Tunggal memberitahu penjajaran semula dibuat setelah mengambil kira nasihat dan keputusan daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang.

“Dari segi teknikal, jajaran LRT yang telah dipilih ini merupakan jajaran yang lebih sesuai dari segi geometri dan dapat mengurangkan kos penyelenggaraan untuk tempoh masa yang panjang,” ulasnya.

Menurut beliau, jajaran LRT ini juga akan berada selari dan hanya menggunakan bahu Jalan Sultan Azlan Shah sahaja.

Jelasnya lagi, jajaran LRT ini tidak mengganggu kawasan perumahan yang berdekatan dan tidak memberikan impak kepada pembinaan masjid yang baru.

Difahamkan, pembinaan Masjid Sungai Nibong Besar adalah di atas Lot 3423 dan Lot 10067 Mukim 13, Daerah Timur Laut yang mana masjid ini terletak di antara laluan Jalan Sultan Azlan Shah dan cadangan jajaran LRT.

Setelah masjid ini dirobohkan untuk pembinaan semula, terdapat cadangan daripada pihak Kerajaan Negeri untuk menjajarkan semula laluan LRT, pada asalnya jajaran ini berada di hadapan mehrab masjid yang jarak antara LRT dengan bangunan masjid adalah 2.7 meter sahaja.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI & AHMAD ADIL MUHAMAD