Pencalonan Anugerah Cemerlang Warisan 100 Tahun dibuka, sanjung usaha martabatkan warisan Pulau Pinang

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri melalui Pejabat Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang (PETACE) memperkenalkan Anugerah Cemerlang Warisan Seratus Tahun Pulau Pinang dalam menyanjung usaha pemartabatan Warisan Kebudayaan Negeri Pulau Pinang.

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, anugerah tersebut diperkenalkan bagi menyanjungi usaha pelbagai pihak termasuk persatuan, organisasi, perniagaan, institusi serta entiti yang telah lama bertapak dan masih aktif dalam memelihara juga memulihara warisan di negeri ini.

 

Saya berharap anugerah ini dapat dijadikan galakan kepada semua pihak untuk terus menyumbang terhadap pembangunan Pulau Pinang.

 

“Malah, ia juga sebagai tanda penghargaan atas dedikasi yang ditonjolkan dalam pembangunan negeri ini melangkaui tempoh satu abad,” ujarnya pada sidang media yang diadakan di Komtar pada 20 Julai 2022.

 

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin; Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari dan Pesuruhjaya Warisan Negeri, Rosli Nor.

 

Pengurus Besar George Town World Heritage Incorporated (GTWHI), Dr. Ang Ming Chee; Profesor Madya Dr. K Premalatha dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM); Pengarah Konservasi Warisan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Danny Koay Hock Hsiang; Pengarah Bangunan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Noorhanis Noordin dan Pengarah Pelancongan, Seni dan Warisan MBSP, Tpr. Mohd. Ridzal Abdul antara rakan strategik yang turut serta dalam sidang media tersebut.

 

Menurut Kon Yeow, Kerajaan Negeri melalui agensi-agensi berkaitan sentiasa berusaha mengangkat dan memartabatkan warisan negeri dari pelbagai aspek dan nilai estetika.

 

“Kita (Kerajaan Negeri) percaya bahawa terdapat pelbagai warisan kebudayaan negeri lain yang turut layak mendapat pengiktirafan sewajarnya hasil sumbangan kepada negeri, khasnya dan negara.

 

“Semua sedia maklum bahawa Pulau Pinang telahpun mempunyai dua khazanah warisan negeri yang menerima pengiktirafan antarabangsa iaitu Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town di bawah Warisan Budaya dan Tapak Rizab Biospera Bukit Bendera di bawah Warisan Alam Semulajadi.

 

Selain itu, 11 buah bangunan di negeri ini juga diwartakan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 sebagai Bangunan Warisan.

 

“(Dan) pengiktirafan ini semuanya tidak berakhir dengan penerimaan watikah sahaja, ia memerlukan pengurusan pemuliharaan dan pemeliharaan berterusan,” tegasnya.

 

MAKLUMAT lanjut melalui portal rasmi Kerajaan Negeri, penang.gov.my atau imbas QR Code berkaitan.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menzahirkan keyakinan bahawa agensi-agensi berwajib yang telah diberi mandat untuk menguruskan tapak warisan berkaitan sedang mengemas kini pelan pengurusan dalam memastikan pengekalan tapak tersebut untuk generasi masa depan.

 

“Di sinilah Rancangan Kawasan Khas (RKK) Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town (Penggantian) dan RKK Bukit Bendera (Penggantian) wujud yang bakal menjadi panduan bagi mentadbir urus tapak-tapak warisan sedia ada.

 

Malah, pewartaan Enakmen Warisan Negeri Pulau Pinang 2011 dan Peraturan-peraturan Warisan Negeri Pulau Pinang 2016 juga dilihat sebagai langkah dalam memulihara khazanah warisan negeri.

 

“Pesuruhjaya Warisan Negeri turut dilantik bagi melaksanakan fungsinya selaras peruntukan dalam Enakmen Warisan Negeri Pulau Pinang 2011,” jelasnya.

 

Dalam sidang media sama, Soon Hin memberitahu bahawa warisan dan sejarah yang terdapat di negeri ini menjadi pemangkin dan daya tarik pelancong ke Pulau Pinang.

 

Eleman warisan dan sejarah ini semakin digemari oleh pengunjung dan ia tidak hanya terhad kepada bangunan dan tapak-tapak warisan sahaja sebaliknya merangkumi warisan hidup juga.

 

“Justeru, Kerajaan Negeri melalui PETACE mengambil pendekatan memperkenalkan Anugerah Cemerlang Warisan Seratus Tahun Pulau Pinang bagi menghargai sumbangan terhadap pembangunan negeri selama ini.

 

“Individu atau pihak yang menerima anugerah ini juga akan diberikan keutamaan dalam mana-mana aktiviti mempromosikan pelancongan dan kebudayaan Pulau Pinang,” katanya.

 

Sementara itu, Rosli ketika ditemui mengalu-alukan sokongan dan pencalonan daripada semua pihak berkaitan.

 

“Sesiapa sahaja boleh menghantar pencalonan untuk organisasi, persatuan, masyarakat, institusi pendidikan, perniagaan, perkhidmatan atau kumpulan entiti berkaitan sendiri atau mencalonkan pihak lain.

 

Borang pencalonan boleh dimuat turun secara percuma melalui https://www.penang.gov.my/warisan.

 

“Pencalonan dibuka mulai hari ini, 20 Julai sehingga 30 September 2022.

 

“Semua pencalonan akan dinilai oleh panel juru yang dipengerusikan oleh YB Yoeh (Soon Hin) yang mana setiap penerima anugerah akan menerima satu plak dan sijil penganugerahan,” jelasnya.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT