Pencapaian semasa Penang2030 setinggi 73 peratus – Kon Yeow

57172578 0af1 4ea0 97f9 5b1df4553ade KETUA Menteri menyampaikan ucapan perasmian Festival 2030 di Komtar pada 21 September 2024.

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa usaha-usaha di bawah pelan pembangunan masa depan negeri sehingga tahun 2030 yang dikenali sebagai Penang2030 telah mencapai 73 peratus daripada sasaran keseluruhan dengan pelaksanaan 373 projek dan program sepanjang enam (6) tahun ini.

Exco Kewangan dan Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi itu memberi penjelasan sedemikian semasa merasmikan Festival Penang2030 bersempena ulang tahun keenam Penang2030 di Komtar pada 21 September 2024.

“Dua kali setiap tahun, kita (Kerajaan Negeri) akan memanggil semua agensi bertanggungjawab untuk melaporkan kemajuan (serta) pencapaian inisiatif yang digariskan (dalam Penang2030) daripada perkara yang telah ditetapkan baik dari segi program, projek dan inisiatif.

“Kita (Kerajaan Negeri) mendapati pada tahun ini, sudah capai 73 peratus,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

f37716d0 4e1f 4658 88fd 5c3b1985bb38
KETUA Menteri diberi taklimat ringkas semasa melawat gerai pameran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sini tadi.

Selain itu, beliau turut memberi penjelasan lanjut berhubung angka peratusan pencapaian semasa Penang2030, yang dianggap begitu tinggi oleh sesetengah pihak.

“Misalnya projek LRT (Transit Aliran Ringan) Laluan Mutiara… mungkin tidak akan siap dalam tempoh enam tahun (sehingga 2030) yang mana tahun ini mula (kerja-kerja tanah), tahun 2030 mungkin boleh kita capai (siapkan).

“Tetapi, pada peringkat pemantauan (yang dilakukan oleh Jawatankuasa Pemandu Penang2030), kita anggap (perkara berkaitan) pengumuman, bajet dan termeterai perjanjian (pelaksanaan projek LRT Lalaun Mutiara oleh MRT Corp.), ia boleh dikira mampu dicapai,” ujarnya.

Sungguhpun begitu, Kon Yeow menyatakan bahawa atas kapasitinya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, beliau akan terus memantau tahap perkembangan pemajuan bagi projek LRT Laluan Mutiara, sehingga habis mandat pentadbiran Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15).

Sehubungan itu, beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang memberitahu bahawa beliau yakin pentadbirannya bakal mencapai 100 peratus sasaran pelaksanaan seperti digariskan dalam Visi Penang2030, sebelum tahun 2030.

“Saya yakin pentadbiran ini bakal mencapai 100 peratus sasaran yang telah ditetapkan sebelum tahun 2030 sekiranya gerak kerja terus dijalankan dengan penuh integriti dan proaktif oleh semua pihak,” ulasnya lanjut.

Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim; Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye; Exco
Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen; Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Zulkifli Long; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Zabidah Safar; dan ADUN Komtar, Teh Lai Heng antara pemimpin Kerajaan Negeri yang menyertai acara perasmian pembukaan festival selama dua hari tersebut di sini.

Turut serta, Ketua Polis Negeri, Datuk Hamzah Ahmad; Ketua Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) Negeri Pulau Pinang, Dato’ Winston Tan Thye Wah; Penolong Pengarah Bahagian bagi Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Pulau Pinang, PgKB I Khairy Sulaiman dan Pegawai Gerakan Peperangan Informasi (PGPI), Rejimen Semboyan Divisyen Kedua Infantri (2 RSD) Leftenan Kolonel Muhaiyudin Hashim (wakil kepada Panglima Markas 2 RSD).

eb9d9f9c 071d 4a6c 9126 4144fff5e401
DI gerai pameran MRT Corp. iaitu rakan strategik pelaksana projek LRT Laluan Mutiara di sini tadi.

Masuk percuma ke Penang Tech Dome (PTC), tayangan percuma Mini Planetarium, pertandingan mewarna, melukis, pakaian beragam serta pameran-pameran ilmiah kenalkan agensi-agensi kerajaan antara acara menarik sempena berlangsungnya Festival Penang2030.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAR AMIR IRSYAD OMAR & NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : NURATIKAH RAHMAT & AHMAD ADIL MUHAMAD