GEORGE TOWN – Pelbagai kejayaan penting yang dicapai oleh Pulau Pinang sepanjang tahun 2024 membuktikan negeri ini sedang bergerak ke arah kemajuan yang lebih cemerlang.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pencapaian tersebut telah mencerminkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan sosial yang memberangsangkan bagi negeri Pulau Pinang.
Beliau berkata, Pulau Pinang berjaya menarik pelaburan sebanyak RM31.38 bilion dan dijangka mewujudkan lebih 6,600 peluang pekerjaan, terutamanya dalam sektor pembuatan bernilai tinggi, perkhidmatan termaju serta pertanian moden.
Tambahnya, Pulau Pinang turut mencatatkan kadar pematuhan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ketiga tertinggi di Malaysia sebanyak 99.15 peratus, di samping muncul sebagai hab pelancongan perubatan terkemuka di Asia Tenggara.
“Malah pada Disember 2024, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) telah menandatangani perjanjian bersama dengan SkyWorld Development Berhad untuk membangunkan 37,300 unit rumah mampu milik di bawah inisiatif ‘Bakat Baru Madani’ yang mana projek ini merupakan salah satu pencapaian terbesar dalam sejarah pembangunan perumahan mampu milik dalam negara.
“Namun, kejayaan demi kejayaan ini hanyalah permulaan dan menjadi harapan saya untu melihat Pulau Pinang terus menjadi pusat kecemerlangan ekonomi dan teknologi dengan memperkukuh kedudukan sebagai hab pelaburan berteknologi tinggi serta destinasi pilihan pelabur global.
“Di samping itu, saya juga mahu melihat Pulau Pinang dinobatkan sebagai sebuah negeri hijau, sihat dan selamat untuk membina keluarga dengan komuniti yang berilmu serta mampan,” kata Kon Yeow ketika berucap pada majlis Perhimpunan Anggota Perkhidmatan Awam Pulau Pinang tahun 2025 dekat Dewan Sri Pinang di sini sebentar tadi.
Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Seri Law Choo Kiang; Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid; barisan Exco Kerajaan Negeri; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Zulkifli Long; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Zabidah Safar; Penasihat Undang-Undang Negeri, Wan Nor Sakina dan Mufti Kerajaan Negeri, Sahibus Samahah Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd. Sukki Othman.
Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Parlimen, Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran; Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid, barisan Ahli Majlis bagi kedua-dua pihak berkuasa tempatan, Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan serta Pegawai-pegawai Kanan antara yang turut hadir
Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi menyatakan bahawa semua kejayaan tersebut adalah hasil daripada komitmen serta dedikasi tinggi telah ditunjukkan oleh penjawat awam yang merupakan tunjang kepada pentadbiran negeri.
“Justeru, saya ingin menyeru kepada semua penjawat awam untuk terus memberikan khidmat yang terbaik kepada rakyat.
“Jadikanlah pencapaian tersebut sebagai inspirasi untuk terus melangkah lebih jauh dan berusaha lebih gigih.
“Saya percaya penyampaian perkhidmatan awam yang berkesan juga amat bergantung kepada sikap, komitmen, inovasi dan produktiviti penjawat awam dalam menjalankan tugas.
“Pesanan ini bukan sahaja ditujukan kepada penjawat awam, malah saya mohon agar anggota pentadbiran, ADUN dan Ahli Parlimen turut menghayati dan mengadaptasikan ciri-ciri penyampaian perkhidmatan yang profesional serta progresif,” ulasnya lanjut.
Sementara itu, Zulkifli ketika berucap menyatakan bahawa penjawat awam merupakan bahagian penting dalam “enjin ekonomi” negeri.
Justeru, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang (PSUKPP) akan menganjurkan sebuah bengkel yang dirancang dengan teliti untuk mengupas secara mendalam, menganalisis dengan teliti dan mengaplikasikan secara berkesan inisiatif Reformasi Karenah Birokrasi (RKB) ke dalam pentadbiran negeri.
“Saya menyeru kepada seluruh penjawat awam negeri untuk bekerjasama rapat dengan sektor swasta dan masyarakat, bersama-sama menyambut baik seruan serta inisiatif ini selaras dengan aspirasi kerajaan untuk meminimumkan birokrasi.
“Saya percaya hasil yang dicapai daripada inisiatif berkaitan akan memberikan memberikan manfaat kepada semua pihak,” ujarnya.
Turut berucap pada majlis tersebut ialah mantan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) yang juga mantan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Tan Sri Zainal Rahim Seman yang menuntut penjawat awam untuk merealisasikan reformasi institusi sebagaimana yang dihasratkan Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Anwar Ibrahim.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : DARWINA MOHD. DAUD