Pencapaian Visi Penang2030 turut menyumbang kepada dasar Malaysia Madani

Admin

TELUK BAHANG – Gagasan Visi Penang2030 akan terus menjadi panduan dalam mencorak hala tuju negeri Pulau Pinang iaitu ke arah sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

 

Malah, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyatakan bahawa pencapaian yang dicapai menerusi visi berkaitan akan turut menyumbang kepada dasar Malaysia Madani yang diuar-uarkan pada peringkat Persekutuan.

 

Justeru, beliau menyatakan bahawa ahli-ahli Exco dan seluruh jentera kerajaan diseru supaya dapat memberi kerjasama serta sokongan untuk merealisasikannya termasuk memperkasakan portfolio masing-masing dan seterusnya memberi impak kepada empat tema serta 16 inisiatif strategik yang dirangka sejak tahun 2018.

 

“Walaupun Visi Penang2030 selalu ‘didefinisikan’ dengan saya, namun, hakikatnya ia adalah untuk negeri Pulau Pinang yang mana bukan hanya berperanan sebagai panduan kepada pemerintahan Kerajaan Negeri, malah, pada suku kedua penggal lalu, masyarakat dan juga pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pihak swasta juga mula memberi perhatian kepadanya (Visi Penang2030) termasuk kempen LovePENANG yang dibawa bersama.

 

“Kita telah sampai separuh jalan (dengan kadar pencapaian 47 peratus sehingga Jun 2023) dan kita perlu terus fokus untuk ke fasa seterusnya bagi menterjemah, mengkoordinasi dan juga memimpin bagi mencapai tahap seterusnya.

 

 

“Fokus kepada pelaksanaan yang mana pelan-pelan digubal dimasukkan sebagai intipati Visi Penang2030 yang mana setiap negeri mempunyai sumber serta kekuatan, dan daripada perincian berkaitan ia dijadikan sebuah visi mengikut kemampuan yang kita ada,’’ ujarnya pada penganjuran ‘Penang2030 Onboarding’ yang berlangsung selama tiga hari di sini.

 

 

Program membabitkan penyertaan barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri dan Ex-officio berkaitan diadakan bagi meneliti, menyemak dan juga mengatur susun semula 16 inisiatif yang menunjangi Visi Penang2030 mengikut portfolio masing-masing. Tetamu khas yang turut diundang ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) yang juga mantan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Tan Sri Zainal Rahim Seman.

 

Selain sesi perbincangan yang diadakan, aktiviti-aktiviti fizikal seperti menelusuri kawasan pantai Taman Negeri Teluk Bahang; pengalaman berbasikal di Jalan Nelayan untuk melihat sendiri aktiviti komuniti tempatan; lawatan ke Balai Polis Teluk Bahang; Empangan Teluk Bahang; Entopia by Penang Butterfly Farm dan kilang batik turut menjadi isi kandungan penting kepada penganjuran khas berkaitan.

Mengulas lanjut, Kon Yeow tidak menafikan bahawa pada peringkat awal pelaksanaan Visi Penang2030, beliau menghadapi kekangan termasuk apabila membabitkan pertukaran pegawai-pegawai atau kakitangan awam.

 

 

“Bergerak ke depan, saya tertarik dengan pendekatan yang dicadangkan oleh (Tan Sri) Zainal (Rahim) bahawa setiap jabatan perlu mewujudkan jawatankuasa khas untuk memantau pelaksanaan Visi Penang2030.

 


“Malah, saya turut melihat semangat barisan Exco kini yang tampil mengambil bahagian melangkaui portfolio masing-masing untuk bersama-sama menggerakkan visi ini,” ulasnya.

 

Pada masa sama, menurut beliau, pandemik COVID-19 turut memberi kesedaran tentang apa yang perlu dilakukan yang mana sasaran perlu diletakkan manakala menggugurkan perkara tidak diperlukan.

 

“Cabaran mendatang yang bakal dihadapi pastinya dentisiti pekerjaan yang mempengaruhi penghijrahan pekerjaan terutamanya dalam kalangan muda, kos sara hidup dan juga pembangunan modal insan terutamanya dalam menghadapi peningkatan masyarakat penuaan di Pulau Pinang kini.

 

 

“Selain itu, turut tersenarai adalah krisis perubahan iklim, pembangunan penyelidikan, perumahan, produk-produk pelancongan yang tidak memfokuskan kepada pelaburan jangka panjang dan juga kesesakan lalu lintas yang mana kita perlu mencari penyelesaian jangka pendek sebelum Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) dilaksanakan sepenuhnya,’’ jelasnya.

 

 

Difahamkan, penganjuran ‘Penang2030 Onboarding’ adalah tepat pada masanya yang mana barisan Exco dilantik bakal mencapai 100 hari pertama menjelang persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada November ini. Selain pengemaskinian terkini status portfolio masing-masing, ia secara tidak langsung turut menyediakan platform penting kepada barisan Exco baru dalam menempuh dan merealisasikan gagasan Visi Penang2030.

 

 

Oleh : YAP LEE YING

Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT

Video : DARWINA MOHD. DAUD