Pendaftaran Forward Road Relay 2024 masih dibuka

img 1501

GEORGE TOWN – Pendaftaran acara larian berganti-ganti Forward Road Relay 2024 masih dibuka kepada para peserta yang berminat sehingga 31 Ogos ini.

 

Menurut Pengerusi Penang Forward Sports Club, Lim Choo Hooi, setakat ini pihaknya sudah mengumpul 100 penyertaan pasukan dari dalam dan luar Pulau Pinang.

 

“Tujuan acara ini diadakan adalah untuk memupuk semangat bersukan dalam kalangan rakyat Malaysia serta menawarkan peluang bagi rakan-rakan peminat sukan ini bertanding, bertemu dan beramah mesra.

 

“Penganjuran pada 15 September ini juga adalah bersempena Car Free Morning anjuran Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) setiap hujung minggu dan keesokannya adalah Hari Malaysia,” ujar Choo Hooi dalam satu sidang media dekat Stadium Bandaraya di sini pagi tadi.

 

Hadir sama, Penolong Pengarah Kanan Jabatan Pengurusan Korporat dan Komuniti bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Khairol Izwan Salamat dan wakil-wakil penaja.

 

Larian ini dibahagikan kepada lima kategori iaitu terbuka lelaki, lelaki veteran, terbuka wanita, campuran dan fun run.

photo 2024 08 21 11 39 58

Setiap peserta akan berlari sejauh tiga kilometer melengkapkan laluan bermula di Lebuh Pantai dan mengelilingi Padang Esplanade secara berganti-ganti.

photo 2024 08 21 11 39 56

Hadiah wang tunai bermula daripada RM300 hingga RM3,000 dan trofi akan diberikan kepada lima pasukan teratas kecuali kategori fun run.

photo 2024 08 21 11 39 57

Pelari lelaki dan wanita yang berjaya mencatatkan masa terpantas turut berpeluang membawa pulang sepasang kasut larian berjenama selain hadiah kepada pakaian terbaik.

 

Setiap kategori melayakkan peserta membawa pulang pingat beserta baju berkualiti.

 

Untuk maklumat lanjut boleh layari https://howei.com/eventdetails/forwardrelay2024 atau https://v2.checkpoint.asia/even/frr2024.

 

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI