TEKUN... Bagi memastikan tiada pihak yang terpinggir, para petugas Pusat Khidmat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bayan Lepas mengambil inisiatif khas mengedarkan borang-borang pendaftaran Program Pelajar Emas di sekolah-sekolah sekitar KADUN di sini.
Menurut Pegawai Penyelaras KADUN Bayan Lepas, Asnah Hashim, beliau membuat keputusan tersebut memandangkan terdapat segolongan ibu bapa yang tidak mengetahui tentang program kebajikan Kerajaan Negeri tersebut.
“Kita mahu semua murid-murid tahun satu dan tahun empat serta tingkatan satu dan tingkatan empat menerima sumbangan RM100 dari Kerajaan Negeri.
“Kita bergerak dari satu ke satu sekolah sekitar KADUN Bayan Lepas dan insyaAllah, semua akan dapat menikmati sumbangan tersebut,” kata Asnah kepada Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.
Turut serta membantu ialah ahli-ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Gertak Sanggul dan JKKK Kampung Tuan Haji Akbar.
Bagi yang ingin menyemak status pendaftaran Program Pelajat Emas, sila layari laman sesawang http://isejahtera.penang.gov.my/
.