Pendaftaran program ikonik City Walk dan City Ride dibuka 1 Disember

GEORGE TOWN – Sempena Sambutan Hari Bandaraya Tahun 2022, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bakal menganjurkan dua program ikonik tahunan iaitu City Walk 1.1.22 (City Walk) dan City Ride Goes Eco @Balik Pulau (City Ride).

 

Datuk Bandar, Dato’ Ar. Yew Tung Seang berkata tahun 2022 merupakan tahun ke-10 penganjuran City Walk.

 

AR. Yew Tung Seang semasa mempengerusikan Mesyuarat Biasa Majlis Bilangan 11/2021.

 

 

Tahun hadapan, program ini akan diadakan pada 1 Januari 2022 secara hibrid yang mana secara fizikal penyertaan dihadkan kepada 1,000 peserta manakala secara virtual tiada had.

 

 

 

“Yuran penyertaan adalah sebanyak RM10 seorang dan peserta berdaftar akan menerima sehelai kemeja-t,” ujarnya pada sidang media sejurus mempengerusikan Mesyuarat Biasa Majlis Bilangan 11/2021 yang diadakan secara telesidang pada 29 November 2021.

 

Mengulas lanjut, Tung Seang memaklumkan bahawa perasmian City Walk secara fizikal akan diadakan di Stadium Bandaraya dengan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP).

 

Hanya mereka yang berdaftar dan memakai kemeja-t City Walk sahaja dibenarkan berjalan di lokasi ditetapkan.

 

“Bagi mereka yang menyertai secara virtual pula, peserta hanya perlu berjalan di mana-mana lokasi, berswafoto dengan latar belakang menarik dan memuat naik di laman sosial rasmi dengan tanda pagar #citywalk #cityday #10years bagi melayakkan diri menyertai cabutan bertuah,” jelasnya.

 

Sementara itu, City Ride yang memasuki tahun ke-enam penganjurannya bakal diadakan pada 2 Januari 2022 dan bermula di Kompleks Sukan Balik Pulau.

 

“Penyertaan bagi City Ride dihadkan kepada 1,000 peserta sahaja dengan pematuhan SOP.

 

Laluan yang akan digunakan adalah di sekitar Balik Pulau dengan jarak lebih kurang 30 kilometer.

 

“Yuran penyertaan adalah RM15 dan peserta yang berdaftar akan menerima kemeja-t, kudapan serta layak untuk cabutan bertuah.

 

“(Dan) pendaftaran bagi kedua-dua program ini adalah pada 1 Disember 2021 ini,” katanya.

 

Difahamkan, pendaftaran bagi kedua-dua program adalah berdasarkan first-come-first-serve. Maklumat lanjut sila layari Facebook Majlis Bandaraya Pulau Pinang mulai 1 Disember 2021.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : MBPP