SEBERANG JAYA – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) melakar sejarah apabila menjadi satu-satunya pihak berkuasa tempatan (PBT) di negara ini mengguna pakai pendekatan Bajet Gender Responsif dan Penyertaan (GRPB) sejak tahun 2012.
Yang di-Pertuanya, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, pelaksanaan GRPB adalah untuk memastikan setiap sen yang dibelanjakan mampu memberi manfaat kepada setiap lapisan masyarakat.
Malah, katanya, pendekatan tersebut juga berjaya membuka peluang pekerjaan kepada kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40).
“Proses GRPB dilaksanakan di semua peringkat melalui soal selidik dan disusuli dengan perbincangan sebelum menentukan keutamaan projek yang akan dilaksanakan.
“Selepas pelaksanaan, kita akan membuat penilaian untuk memastikan semua perkara yang diminta oleh penduduk berdasarkan gender dilaksanakan secara praktikal,” katanya pada sidang media selepas melancarkan GRPB Champion Award 2019 dekat Pejabat MPSP sebentar tadi.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) Ong Bee Leng; Setiausaha Perbandaran MPSP, Ir. Rosnani Mahmod; Ahli-Ahli Majlis bagi MPSP; Ketua-Ketua Jabatan dan Pegawai-Pegawai Kanan; Pengerusi-Pengerusi Persatuan dan para peserta.
Mengulas lanjut, Rozali memberitahu bahawa, di bawah kaedah GRPB, MPSP telah melanjutkan kontrak pembersihan dan landskap di Pulau Aman yang dianugerahkan kepada komuniti melalui Kelab Wanita Aktif dan Cergas pada tahun lepas dengan peruntukan berjumlah RM11,500.
“Saya telah mengadakan Management By Walking Around ke Pulau Aman pada 20 Februari lalu dan mendapati tahap kebersihan di sana sangat baik,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Bee Leng pula berkata, penganjuran anugerah GRPB buat julung kalinya adalah bertujuan untuk mewujudkan persaingan sihat antara Ketua Jabatan dan Unit-Unit dalam MPSP.
“Paling penting kita mahu memperkukuhkan dan mengarusperdanakan GRPB dalam pelaksanaan projek, program atau aktiviti,” katanya.
Difahamkan, semua jabatan akan dinilai oleh panel pada bulan September dan Oktober ini makanakala hadiah akan disampaikan pada November.
Juara pertandingan akan menerima wang tunai berjumlah RM7,000 manakala naib juara (RM2,000) dan tempat ketiga (RM1,000).
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS