Pendidik diseru promosi bidang STEM, TVET kepada pelajar lepasan SPM

Admin
img 20240614 wa0037

PERMATANG PAUH – Para pendidik diseru memainkan peranan penting dalam mempromosikan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam kalangan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa perkara itu adalah selari dengan komitmen Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk mempelbagaikan serta mentransformasikan bidang pendidikan selaras dengan keperluan semasa pasaran global.

“Berdasarkan Laporan Prestasi Ekonomi Pulau Pinang, sektor pembuatan adalah penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri Pulau Pinang.

“Oleh itu, saya menyeru kepada para pendidik untuk memainkan peranan penting dengan mempromosikan bidang STEM dan TVET dalam kalangan murid lepasan SPM.

“Saya yakin bahawa penawaran bidang pekerjaan ini mampu merancakkan lagi aktiviti ekonomi sekali gus meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk Pulau Pinang secara keseluruhan,” katanya semasa berucap pada Majlis Kemuncak Apresiasi Pendidikan 2024, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang dekat Dewan Besar UiTM Cawangan Pulau Pinang di sini sebentar tadi.

Turut hadir, Pengarah Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Abdul Said Hussain; Rektor UiTM Cawangan Negeri Pulau Pinang, Profesor Ir. Dr. Ahmad Rashidy Razali; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Guru Malaysia Berhad, Dato’ Wan Munadi Wan Mamat serta Ketua Penggerak Ibu Bapa Komuniti Swasta (P.I.B.K.S.) Negeri Pulau Pinang, Dato’ Ahmad Darus.

img 20240614 wa0036

img 20240614 wa0039

img 20240614 wa0027

img 20240614 wa0029

img 20240614 wa0025

Pada masa sama, Kon Yeow menyatakan bahawa sistem pendidikan negara juga perlu mengambil manfaat dalam mempraktikkan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) seiring dengan perkembangan teknologi baru dan inovasi berasaskan ilmu pengkomputeran.

“Aplikasi AI merupakan alternatif terkini dalam penyelesaian pantas membabitkan setiap aktiviti harian, selari dengan hasrat Kerajaan Negeri dalam melahirkan sebuah ‘Negeri Pintar’.

“Saya pasti teknologi AI yang sangat popular ini telah memberikan pengaruh yang sangat kuat serta signifikan dengan kehidupan generasi muda,” katanya sambil mengingatkan agar teknologi AI tidak disalahgukan sehingga menimbulkan polemik serta kesan negatif terhadap tahap kesihatan serta akhlak pelajar.

Dalam pada itu, Kon Yeow turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pendidikan Negeri, para pengetua, guru-guru serta calon-calon SPM 2023 atas pencapaian yang amat cemerlang.

“Pencapaian ini secara langsung membuktikan bahawa kualiti perkhidmatan pendidikan di Pulau Pinang berada pada landasan betul serta memenuhi standard kualiti perkhidmatan yang dihasratkan.

“Ucapan tahniah juga diucapkan khususnya kepada semua sekolah yang telah menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan.

“Semoga usaha-usaha ini akan diteruskan dari semasa ke semasa sebagai pemangkin ke arah mencapai Visi Penang2030,” ulasnya sambil menekankan bahawa Kerajaan Negeri amat komited dalam menjamin setiap anak-anak di negeri ini mempunyai akses kepada pendidikan.

Sementara itu, Abdul Said memberitahu bahawa seramai 755 daripada 17,237 calon SPM 2023 di Pulau Pinang memperoleh keputusan semua A.

Beliau berkata, peratus pencapaian layak sijil bagi tahun ini adalah 92.64 peratus iaitu peningkatan sebanyak 2.43 peratus berbanding 90.21 pada tahun 2022.

“Bagi gred purata negeri (GPN) bagi tahun ini adalah 4.49 iaitu peningkatan 0.11 berbanding 4.60 pada tahun sebelumnya.

“Secara keseluruhan seramai 15,655 daripada 17,237 calon layak menerima sijil SPM bagi tahun ini di Pulau Pinang.

“Sebanyak 29 sekolah di negeri ini mencatatkan kelulusan 100 peratus yang mana semua calon layak menerima sijil,” ujarnya.

Terdahulu, Kon Yeow menyampaikan anugerah kepada Tokoh Guru Negeri Pulau Pinang 2024, Fathiyah Abu Bakar dan Tokoh Kepimpinan Pendidikan, Dato’ Abdul Rashid Abdul Samad.

Selain itu, beliau turut menyampaikan anugerah kepada 30 pemenang Anugerah Wacana Ilmun”Apresiasi Pendidikan” Peringkat Negeri Pulau Pinang.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS