DATUK KERAMAT – Pendidikan berkaitan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) adalah penting dalam usaha menyediakan generasi yang memenuhi kehendak masa hadapan seiring dengan kepesatan semasa.
Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo berkata, STEM bukan semata-mata tentang teknologi tetapi juga penting untuk perkembangan mental dan pemikiran kreatif serta kritis.
“Dunia sekarang berkembang pesat seiring dengan teknologi. Di sinilah peranan penting pendidikan STEM dalam mempersiapkan generasi muda untuk menghadapi masa depan,” ujarnya.
Beliau yang juga Exco Pembangunan Modal Insan, Sains & Teknologi berkata demikian ketika hadir menyempurnakan ‘Step Up STEM Showcase’ anjuran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lelaki Methodist di sini baru-baru ini.
Tambah beliau, selain ilmu pengetahuan yang menjamin masa hadapan yang lebih cerah, peranan ibu bapa dan para guru juga harus dipuji dan dihargai.
“Ilmu akan membawa kamu (pelajar) ke tahap yang lebih tinggi, dan kamu mesti sentiasa ingat bahawa tanpa guru, kita tidak boleh maju ke hadapan, begitu juga dengan ibu bapa.
“Kamu semua adalah generasi masa depan Pulau Pinang. Belajar bersungguh-sungguh, taat kepada ibu bapa, dan dengar cakap guru,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat itu lagi.
Dalam pada itu, Penolong Kanan Pentadbiran SMK (L) Methodist, Dr. Taufek Muhamad memberitahu bahawa program ‘Step Up STEM Showcase’ itu dianjurkan sebagai sebahagian usaha melahirkan generasi berilmu menerusi pertandingan, permainan dan pameran.
“Di samping itu, program ini juga diharap dapat menerapkan kemahiran STEM yang berupaya untuk mengenal pasti, mengaplikasi dan mengintegrasikan komponen STEM untuk memahami masalah dan menyelesaikannya secara kreatif dan inovatif.
“Kami (para guru) komited untuk memberikan pendidikan STEM terbaik bagi murid-murid kami dan juga menggalakkan mereka untuk berinovasi dalam memberikan pengalaman pelajaran yang menarik dan bermakna,” jelasnya.
Antara aktiviti yang berlangsung adalah pertandingan Rubik’s Cube, Straw Airplane, Pythagoras Tree, cabutan bertuah Sudoku, teka-teki Matematik, pameran Radar Sains, kuiz dan lain-lain lagi.
Pada program tersebut, empat pelajar Tingkatan 3 iaitu S. Jagathes; S. Bhavin Singh; P. Hemanth Raj dan K. Rishi Kartikeyean turut mempamerkan ciptaan mereka iaitu pesawat jarak jauh.
Difahamkan, mereka mengambil masa tiga bulan untuk membina pesawat itu dan berjaya diterbangkan dengan jarak jauh.
Oleh: NURUL HAWA FARAHIN HAMEDDY
Gambar: SIEW CHIA EN