Pendigitalan buka jalan kepada aktiviti jenayah komersial – Ketua Polis

Admin

GEORGE TOWN – Trend peningkatan mendadak aktiviti-aktiviti jenayah komersial berbanding sebelum era pandemik jelas membimbangkan, kata Ketua Polis Pulau Pinang, Dato’ Mohd. Suhaily Mohd. Zain.

 

 

Malah, beliau menjangkakan bahawa kes-kes melibatkan jenayah komersial akan terus meningkat sejajar dengan perkembangan teknologi pendigitalan kini.

 

 

“Sebelum ini, dalam fasa pandemik hasil pendigitalan segala aspek kehidupan kita telah membuka jalan kepada aktiviti – aktiviti jenayah komersial dan trend ini akan berterusan.

 

 

“Masyarakat hari ini perlu lebih berhati-hati terutanma dalam menjalankan sebarang transaksi secara dalam talian. Elakkan transaksi mencurigakan ataupun menerima panggilan daripada nombor tidak dikenali.

 

 

“Tidak kira siapa anda, tua, muda, miskin, kaya dan sesiapa sahaja berpotensi sekiranya tersalah langkah. Oleh itu, nasihat saya supaya kita semua lebih berhati-hati kerana jenayah komersial melangkaui  latar belakang,” ujarnya pada sesi temu ramah eksklusif yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang dekat Jalan Penang baru-baru ini.

 

 

Menurut Mohd. Suhaily, modus operandi yang digunakan juga pelbagai sehingga mengaburi mata ‘mangsa’.

 

 

“Modus operandi bagi jenayah komersial adalah melibatkan telefraud, e-financial, e-dagang, scam, pinjaman tidak wujud dan pelaburan tidak wujud.

 

 

“Misalnya pada tahun 2018, sejumlah RM50.64 juta kerugian dicatatkan akibat jenayah komersial. Jumlah tersebut kemudiannya turun kepada RM45.50 juta pada tahun 2019 dan meningkat kembali kepada RM50.07 juta pada tahun 2020 serta RM89.90 juta pada tahun lalu.

 

 

“Begitu juga dengan kes-kes jenayah komersial yang turut mencatatkan peningkatan iaitu 1,121 kes pada tahun 2018; 1,372 kes (2019); 1,993 kes (2020) dan 2,791 kes (2021),” katanya.

 

 

Jelasnya lagi, bagi kes yang melibatkan modus operandi lama atau tradisional dengan memperdayakan mangsa secara bersemuka juga mencatatkan peningkatan dari segi jumlah kerugian yang ditanggung.

 

 

“Bermula RM91.45 juta untuk tahun 2018; RM136.19 juta (2019), RM114.33 juta (2020) dan RM448.04 juta (2021) masing-masing melibatkan 430 kes; 646 kes; 460 kes dan 418 kes.

 

 

“Rekod tangkapan pula adalah sebanyak 1,020 tangkapan (2018); 902 (2019); 915 (2020) dan 1,012 (2021),” jelasnya lagi.

 

 

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ALISSALA THIAN