PERAI – Perbadanan Aset Keretapi (RAC) selaku tuan tanah akan menandatangani perjanjian berwajib dengan pemaju yang dipilih pada Isnin ini bagi pembangunan semula projek penempatan di atas tanah Kampung Manis, umum Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.
Menurut Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi itu lagi, penduduk asal akan ditempatkan semula di Kampung Manis apabila projek pembangunan semula bandar tersebut siap kelak.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Rumah Terbuka Deepavali anjuran Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai, Dato’ Seri S. Sundarajoo yang juga Exco Perumahan dan Alam Sekitar di sini pada 9 November 2024.
“Pada hari Isnin, suatu projek besar akan disaksikan iaitu majlis menandatangan perjanjian antara tuan tanah RAC dan pemaju yang dilantik setelah RFP (proses permintaan atas cadangan) dilaksanakan untuk menempatkan semula penduduk Kampung Manis di tempat yang sama juga.
“Ini, projek pembangunan semula bandar (yang) tidak akan menjejaskan penduduk asal di situ,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.
Di samping itu, Kon Yeow menyatakan bahawa pelaksanaan projek tersebut sekali gus menyanggah tuduhan pihak pembangkang Pulau Pinang yang selama ini menggambarkan penduduk asal akan dipinggirkan daripada arus pembangunan semula bandar di negeri ini.
“(Projek pembangunan semula kawasan penempatan Kampung Manis) ini tidak seperti dituduh parti-parti ‘lawan’ yang menyatakan: kalau ada pembangunan semula bandar, penduduk asal akan dipinggirkan,” tegasnya yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang.
Selain itu, beliau turut memuji iltizam politik Sundarajoo selaku Exco Perumahan dan ADUN Perai dalam usaha merealisasikan projek mengekalkan penduduk asal dalam arus pembangunan semula bandar di atas tanah asal Kampung Manis.
Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow turut memuji Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak atas perkenan hadir bagi menyerikan Majlis Rumah Terbuka Deepavali peringkat KADUN Perai tersebut.
Sundarajoo yang berucap sebelum itu antara lain memberitahu bahawa pada 11 November 2024 akan berlangsungnya majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara RAC dan Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP).
Pada hari sama jua, Sundarajoo memberitahu bahawa RAC dan Rivanis Ventures Sdn. Bhd. akan menandatangani Head of Agreement (HoA) yang mana bakal menoktahkan masalah penduduk Kampung Manis selama ini.
“Saya mengambil peluang ini untuk merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pemegang taruh yang terlibat terutama YAB Ketua Menteri dan Menteri Pengangkutan,” ujarnya.
Mantan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng merangkap Ahli Parlimen Bagan dan Menteri Sumber Manusia merangkap Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Negeri Pulau Pinang, Steven Sim Chee Keong antara pemimpin utama yang hadir dalam majlis keraian tersebut.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : SIEW CHIA EN