PERAI – Kerajaan Negeri Pakatan Harapan hari ini menerusi Tabung Penyelenggaraan Maksimum 80 Peratus Pulau Pinang (TPM80PP) meluluskan sejumlah RM860,000 bagi menukar dua unit lif baharu di Blok E1 & E2 Pangsapuri Teluk Indah dekat sini, sementara baki 20 peratus atau RM172,000 yang sepatutnya ditanggung badan pengurusan bersama (JMB) dibiayai oleh Pejabat Ketua Menteri.
Mengumumkan perkara itu, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy berkata bahawa projek penarafan itu akan meningkatkan kualiti hidup penduduk yang menghuni di lebih 900 unit rumah kos sederhana rendah di sini.
“Sebelum inipun, Kerajaan Negeri dan saya telah menyumbang RM26,748.80 untuk membaiki tiga buah lif pada tahun 2012; RM170,000 membaiki dua buah lif di Blok E1 dan E2 (pada tahun 2015); dan membaiki empat buah lif di Blok D1 dan D2 pada tahun 2017 (berjumlah RM193,658.40).
“Di samping itu, saya juga telah membayar tunggakan bayaran elektrik TNB (Tenaga Nasional Berhad) bagi Blok E1 dan E2, sebanyak RM80,000 pada tahun 2013 dan sebanyak RM80,000 sekali lagi pada tahun 2014 melalui peruntukan KADUN (Kawasan Dewan Undangan Negeri) Perai.
“(Dan) dengan penggantian dua unit lif baharu pada hari ini, diharap akan meningkatkan keselesaan penduduk yang rata-ratanya adalah golongan berpendapatan rendah dan sederhana,” jelasnya kepada Buletin Mutiara di sini pada 10 Julai 2021.
Selain itu, Ramasamy memberitahu bahawa penggantian dua unit lif baharu turut dilengkapi kad akses dan sistem kamera litar tertutup (CCTV) demi meningkatkan keselamatan awam, kerja-kerja penyelenggaraan dan pembersihan kawasan taman kediaman berstrata tersebut.
“Pada awal tahun ini, Blok E1 dan E2 dilaporkan sebagai pangsapuri yang menghadapi masalah kebersihan sangat serius.
“Masalah ini wujud kerana Pangsapuri Teluk Indah masih berada dalam proses ‘receivership’ yang mana saya telah mengadakan satu mesyuarat dengan pihak Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) pada bulan Mei 2021 untuk membincangkan alternatif bagi mengatasi masa yang wujud,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai.
Bercakap pada sidang media sama, Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani memberitahu bahawa pihaknya turut berharap penduduk Pangsapuri Teluk Indah dapat membantu JMB dalam melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembersihan di sini.
“Buat kali pertama, penggantian dua lif baharu in dilengkapi kad akses untuk mengenal pasti penduduk yang menggunakan kemudahan bersama ini.
“Pada masa yang sama, Pejabat Ahli Parlimen Batu Kawan turut menyumbang RM10,000 dengan pembayaran terus kepada TNB untuk bil elektrik yang tertunggak sebelum ini.
“Sebagaimana disebut Prof. Dr. P. Ramasamy, saya juga berharap sekalian penduduk di sini dalam memberi kerjasama sebaik mungkin seperti membayar fi penyelenggaraan kepada JMB, selain bersama-sama menjaga kebersihan di sekitar pangsapuri ini,” serunya.
Dua Ahli Majlis bagi MBSP, P. David Marshel dan Jason Raj turut menyertai gimik penyerahan dua unit lif baharu tersebut kepada JMB Pangsapuri Teluk Indah.
Sementara itu, Setiausaha JMB Pangsapuri Teluk Indah 2, S. Anparasan berkata pemasangan kad akses pada kedua-dua lif baharu tersebut diharap memudahkan lagi proses kutipan fi penyelenggaraan di kedua-dua blok pangsapuri 21 tingkat tersebut.
“Sebelum ini, di blok (E1) ini hanya ada satu lif sahaja, itupun kerap kali rosak dan kadang-kadang mengambil masa hampir tiga bulan untuk dibaik pulih.
“Melalui pejabat wakil rakyat di sini, persatuan penduduk telah memohon daripada YAB Tuan Chow Kon Yeow (Ketua Menteri) dan Jagdeep Singh Deo (Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa) untuk menggantikan dua lif yang rosak ini.
“(Dan) dengan pemasangan kelengkapan kad akses, pihak JMB berharap urusan mengutip fi penyelenggaraan daripada semua penduduk di sini lebih mudah.
“Fi penyelenggaraan ini begitu penting untuk JMB membuat pembayaran bil utiliti, kerja-kerja penyelenggaran serta kerja-kerja pembersihan agar kawasan pangsapuri ini boleh kembali indah dan bersih,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada pihak Ramasamy.
Buletin Mutiara selepas itu turut mendapatkan maklum balas daripada dua penduduk asal di sini mengenai projek pemasangan dua lif baharu oleh Syarikat AKK Alliance Sdn. Bhd..
Menurut G. MAMASIVAYAM, 53, yang merupakan pesara, JMB sebenarnya begitu gigih mengutip fi penyelenggaraan RM30 sebulan daripada semua unit kediaman berstrata di kedua-dua flat kos rendah berkenaan.
Namun, menurutnya lagi, ada penduduk dalam kalangan warganegara dan bukan warganegara bukan sahaja tidak membayar fi penyelenggaraan, bahkan tidak menjaga kebersihan kawasan di taman kediaman berstrata tersebut.
“Saya dan isteri sudah tujuh tahun di ini, kami begitu sanjung kesungguhan JMB mengutip fi penyelenggaran, walaupun lebih separuh unit kediaman di sini tak bayar fi penyelenggaran atas pelbagai dalih.
“Selepas ini, kalau kerja-kerja pembersihan dapat dilaksanakan sebaik mungkin selepas adanya sistem kad akses pada kedua-dua lif, jangan beri alasan lagi konon-konon tak berbaloi bayar fi penyelenggaraan kerana kawasan lapang kotor dengan sampah sarap,” jelasnya sambil berharap pihak berwajib dapat menyelesaikan isu Sijil Layak Menduduki (CCC) bagi pemilik harta tanah di sini.
Manakala, S. DURGA DEWI, 31, yang merupakan kontraktor pembersihan memberitahu pada tahun 2000 iaitu ketika pangsapuri ini mula dihuni, suasana persekitaran adalah bersih dan tidak seperti ini.
Menurutnya, rata-rata pemilik unit kediaman berstrata di sini lebih bertanggungjawab dalam membayar fi penyelenggaraan serta menjaga kebersihan sekeliling demi memelihara nilai hartanah mereka.
“Saya tinggal di sini sejak kecil, semasa berusia 10 tahun barulah kawasan Kampung Teluk ini berubah menjadi Pangsapuri Teluk Indah.
“Semasa mula-mula kawasan kediaman berstrata ini dibuka pada tahun 2000 kalau tidak salah, keadaan sekeliling begitu bersih, mungkin kerana rata-rata penghuni asal adalah pemilih unit berstrata di sini.
“Saya ingat sejak tahun 2008, keadaan kebersihan di kawasan ini semakin diabaikan, terutama oleh penyewa ataupun warga asing tertentu yang diami unit kediaman dengan tidak mengambil peduli soal kebersihan dan bayaran fi penyelenggaraan kepada JMB,” jelasnya lagi sambil berharap semua pihak dapat saling bekerjasama memulihkan tahap kebersihan kawasan lapang di Pangsapuri Teluk Indah di sini.
Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB